KUALA LUMPUR: Kondominium mewah dengan kawalan keselamatan berlapis jadi tumpuan lokasi sewaan sindiket dadah untuk mengelak serbuan pihak polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, sindiket berkenaan sengaja memilih kediaman berkelas tinggi kerana kawalan keselamatan ketat menjadi halangan tambahan kepada pihak berkuasa untuk menembusi premis berkenaan.
Menurut beliau, premis itu digunakan sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum bahan terlarang tersebut dipindahkan ke lokasi lain untuk diedarkan kepada pelanggan.
“Mereka menyasarkan kondominium mewah yang mempunyai kawalan keselamatan berlapis kerana keadaan itu menyukarkan kami menembusi lokasi berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Fadil berkata, sindiket terbabit sanggup membayar kadar sewa lebih tinggi bagi mendapatkan premis yang menawarkan tahap keselamatan dan privasi lebih terjamin.
Katanya, premis berkenaan disewa, manakala bekalan dadah pula kerap dipindahkan dari satu lokasi ke lokasi lain bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
“Tempat ini untuk simpan dadah sebelum pindahkan ke lokasi lain secara berulang kali, kemudian diedarkan kepada pengguna akhir,” katanya.
Tambah Fadil, kaedah pengedaran dadah turut menjadi semakin pelbagai apabila sindiket menggunakan komunikasi secara bersemuka serta platform pesanan dalam talian bagi mengatur urus niaga.
Antara aplikasi yang digunakan ialah WhatsApp dan WeChat, selain perkhidmatan pesanan lain serta komunikasi secara langsung.
Dadah berkenaan dipercayai disasarkan kepada pelbagai segmen pasaran, termasuk pelanggan yang menghadiri parti persendirian dan premis hiburan.
Menurut Fadil, sindiket turut mengedarkan dadah jenis MDMA cecair yang dibungkus dalam botol menyerupai minuman komersial bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Katanya, setiap botol dadah berkenaan boleh dijual pada harga antara RM200 hingga RM300.
Beliau berkata, polis percaya dadah yang dibawa masuk ke Malaysia dari luar negara berkemungkinan diproses, disimpan dan dibungkus semula di dalam negara sebelum diedarkan kepada pelanggan.
Bagaimanapun, katanya, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian pembekalan serta penglibatan individu dalam sindiket terbabit.
“Setiap individu yang terlibat mempunyai peranan berbeza, termasuk mengatur operasi, mengedarkan dadah dan menyediakan sokongan logistik,” katanya.
Beliau berkata, polis turut memberi perhatian terhadap penglibatan warga tempatan dan warga asing yang membantu melancarkan rangkaian pengedaran dadah berkenaan.
Katanya, pihak polis akan terus membanteras kegiatan pengedaran dadah pada setiap peringkat, termasuk membabitkan individu yang bertanggungjawab menyimpan, mengedar dan membekalkan bahan terlarang itu kepada pengguna.-UTUSAN











