PARIT BUNTAR: Sebanyak lima buah rumah di Parit Telok Pial, Kuala Kurau di sini dinaiki air akibat limpahan dari kawasan sawah yang bertakung sejak hampir seminggu lalu, dipercayai berpunca daripada parit saliran yang tidak diselenggara.
Seorang pesawah, Hanapiah Ahmad Hussin, 58, berkata, kediamannya sudah tiga hari digenangi air, manakala lebih 10 ekar sawah yang diusahakannya turut tenggelam.
Menurutnya, kejadian pertama kali dialami itu memaksanya bersama keluarga dan jiran memindahkan benih, baja serta peralatan bermotor dan elektrik ke tempat lebih tinggi.
“Kelmarin, kami mengambil masa lebih dua jam untuk memindahkan barang. Sawah sudah hampir seminggu tenggelam, sekarang rumah pula dimasuki air,” katanya kepada pemberita di Parit Telok Pial hari ini.
Katanya, keadaan bertambah tidak selesa apabila air yang menggenangi kawasan kediaman turut membawa lintah sehingga menimbulkan kebimbangan keluarganya.
“Waktu pagi boleh nampak banyak lintah berenang di sekitar rumah. Memang geli dan takut, tetapi mahu atau tidak, kami terpaksa hadap juga,” katanya.
Hanapiah berkata, dia perlu menunggu air surut sebelum menilai kerosakan tanaman dan sekiranya padi mati, dia terpaksa mengeluarkan modal tambahan ribuan ringgit untuk mengusahakan semula sawah.
Dia menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian segera membersihkan parit buang yang didakwa dipenuhi semak menggunakan jentera jengkaut bagi mempercepatkan aliran keluar air.
Seorang lagi penduduk yang dikenali sebagai Wan, berusia 30-an, mendakwa pintu air di Parit Tok Hin dibuka lewat meskipun air laut sudah surut sejak awal pagi, sekali gus mengehadkan tempoh pelepasan air dari kawasan terjejas. – UTUSAN











