KUALA LUMPUR – Lebih 10 tokoh dan penggiat seni bakal berhimpun menerusi Persembahan Dikir Barat Malaysia 2026 di Muzium Negara pada 7 November ini bagi mengangkat seni warisan tradisional itu agar terus relevan merentasi generasi.
Dianjurkan Kota Pesta by Makar Fest dengan kerjasama Muzium Negara serta sokongan Yayasan Hasanah menerusi geran ArtsFAS, program itu menampilkan persembahan khas yang menghimpunkan nama seperti Sabri Yunus, Halim Yazid, Jali Bunga Tanjong, Eda Ezrin dan Den Manjo, selain beberapa penggiat seni lain.

Selain persembahan pentas, program itu turut menampilkan sesi “Seni Berpantun dalam Dikir Barat” bersama Sabri Yunus bagi memberi pendedahan mengenai keunikan bahasa, teknik rima, permainan kata dan kreativiti yang menjadi elemen penting dalam seni berkenaan.
Penganjuran itu turut memberi perhatian kepada generasi muda menerusi Dikir Barat Youth Camp yang membuka peluang kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi mempelajari asas penghasilan lirik, muzik serta teknik persembahan dengan bimbingan tokoh dan penggiat seni.
Selain itu, Forum Warisan akan menjadi platform perbincangan mengenai masa depan seni tradisional, termasuk cabaran mengekalkan relevansi Dikir Barat dalam masyarakat moden tanpa menghilangkan identiti asalnya.
Usaha dokumentasi digital turut dilaksanakan bagi memastikan persembahan dan pengetahuan seni itu dapat dijadikan bahan arkib serta rujukan generasi akan datang.
Penganjuran Persembahan Dikir Barat Malaysia 2026 diharap dapat memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap nilai warisan budaya negara, selain menjadi jambatan yang menghubungkan generasi lama dengan generasi baharu menerusi seni, bahasa dan muzik tradisional.











