Tiada bukti syarikat Malaysia terlibat kebakaran hutan, tanah di Indonesia

Tiada bukti syarikat Malaysia terlibat kebakaran hutan, tanah di Indonesia

ARTHUR JOSEPH KURUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada bukti kukuh untuk mendakwa syarikat Malaysia bertanggungjawab terhadap kebakaran hutan dan tanah di Indonesia.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pihaknya setakat ini telah meneliti perkara berkenaan.

“Berdasarkan semakan setakat ini, tiada bukti konklusif bahawa syarikat perladangan yang dikaitkan dengan Malaysia bertanggungjawab terhadap kebakaran tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mengenai cadangan untuk menyekat pembiayaan bagi syarikat yang terbukti bertanggungjawab, penelitian lanjut amat diperlukan, terutamanya dari sudut asas perundangan, piawaian pembuktian, bidang kuasa serta implikasinya terhadap sektor kewangan,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar Indonesia, Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (Walhi) sebelum ini yang mendakwa 21 syarikat perniagaan Malaysia terlibat dalam kebakaran hutan dan tanah di Indonesia antara Januari hingga September tahun ini.

Dapatan tersebut dibentangkan menerusi laporan analisis pemetaan bertajuk Who are Behind the Fires yang diterbitkan oleh Walhi.

Arthur ketika mengulas cadangan penggubalan undang-undang khusus bagi menangani pencemaran jerebu rentas sempadan berkata, kementeriannya telah berulang kali meneliti wajarnya pengenalan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan, sebagaimana undang-undang di salah sebuah negara jiran.

“Bagaimanapun, pelaksanaannya berdepan pelbagai cabaran, khususnya dari segi bidang kuasa, pengumpulan dan pengesahan bukti di luar negara, penetapan liabiliti korporat, serta implikasi terhadap kedaulatan negara lain,” jelasnya.

Dalam pada itu, Arthur berkata, kerajaan terbuka meneliti mekanisme undang-undang antarabangsa bagi membolehkan tuntutan pampasan dan ganti rugi akibat jerebu rentas sempadan dipertimbangkan.

Katanya, perjanjian ASEAN mengenai pencemaran jerebu rentas sempadan ketika ini tidak menyediakan mekanisme khusus untuk tuntutan pampasan antara negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini