PETALING JAYA: Keuntungan Selepas Cukai, Zakat dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) Bursa Malaysia Berhad meningkat 13.5 peratus kepada RM214.8 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 berbanding RM189.3 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, PATAMI pengendali bursa itu turut meningkat 10 peratus kepada RM70.2 juta berbanding RM63.8 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, sembilan bulan pertama tahun ini menyaksikan momentum berterusan merentasi pasaran, disokong aktiviti dagangan lebih kukuh, pengumpulan dana berterusan serta penyertaan pelabur yang menggalakkan.
Katanya, sebanyak 47 tawaran awam permulaan (IPO) dalam tempoh berkenaan, bersama peningkatan 27.6 peratus dalam Nilai Dagangan Harian Purata (ADV) Pasaran Sekuriti dan pertumbuhan 19.3 peratus dalam ADC Pasaran Derivatif, menunjukkan tahap penyertaan yang sihat merentasi pasaran kami.
“Dengan Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara empat hingga lima peratus pada 2026, asas domestik Malaysia kekal menyokong aktiviti pengumpulan modal dan pelaburan.
“Pada masa sama, ketidaktentuan geopolitik dan keadaan kewangan global yang lebih ketat menyebabkan pelabur menjadi lebih selektif dalam menentukan penempatan modal mereka.
“Dalam persekitaran ini, tumpuan kami kekal kepada usaha meningkatkan kerancakan dan penyertaan pasaran, di samping terus melabur dalam daya tahan serta kebolehpercayaan infrastruktur pasaran.
“Penambahbaikan terhadap Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI dan FTSE Bursa Malaysia Mid 70, MY Value Up serta usaha memperkukuh hubungan pasaran serantau dan antarabangsa, termasuk antara Malaysia dan Hong Kong, merupakan antara inisiatif strategik yang sedang kami laksanakan bagi mencapai matlamat tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Bursa Malaysia mencatatkan hasil operasi bagi tempoh sembilan bulan itu meningkat 19.8 peratus tahun ke tahun kepada RM620.8 juta, didorong terutamanya oleh aktiviti dagangan lebih tinggi dalam pasaran sekuriti dan derivatif serta yuran penyenaraian.
“Perbelanjaan operasi pula meningkat 23.4 peratus kepada RM349 juta, mencerminkan pelaburan berterusan dalam bakat dan teknologi serta yuran kawal selia.
“Dalam Pasaran Sekuriti, ADV bagi Dagangan Dalam Pasaran (OMT) meningkat 27.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.2 bilion, manakala aktiviti pengumpulan dana kekal kukuh dengan 47 IPO mengumpul RM6.1 bilion dan menyumbang RM28.7 bilion kepada permodalan pasaran,” katanya.
Bursa Malaysia turut mendahului ASEAN dari segi jumlah IPO dan dana yang dikumpul sepanjang tempoh berkenaan. – UTUSAN











