PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad menegur sikap segelintir pengguna media sosial yang semakin berani menormalisasikan perbuatan mengecam individu lain secara terbuka.
Menerusi perkongsian di Threads, Uyaina berpendapat tindakan tersebut bukan sahaja dengan mengeluarkan kata-kata negatif, malah sengaja menandakan akaun individu yang menjadi sasaran kecaman sekali gus membuka ruang untuk pengguna lain mengumpat secara berjemaah.
“Saya perhatikan ada satu budaya yang semakin dinormalisasikan dan perkara itu sebenarnya sangat tidak baik, malah berdosa. Budaya mengata seseorang secara terbuka, siap menandakan akaun individu berkenaan supaya dia tahu dirinya sedang dikutuk.
“Secara tidak langsung, tindakan itu mengajak orang lain yang tidak menyukai individu tersebut untuk turut memberikan pendapat sehingga akhirnya menjadi budaya mengumpat berjemaah.
“Kepada mereka yang biasa melakukan perkara seperti ini, adakah kehidupan anda baik-baik sahaja? Mengapa terlalu banyak kebencian dalam diri?” katanya.
Uyaina berkata, meskipun tindakan sedemikian dianggap perkara biasa oleh sesetengah pihak, hakikatnya ia merupakan satu bentuk buli siber yang tidak sepatutnya dipandang ringan.
“Mungkin nampak seperti perkara biasa, tetapi sebenarnya ini adalah buli siber. Ada yang kata, biarlah kerana kita tidak boleh menutup mulut orang. Jangan cepat koyak atau kalau tidak tahan, jangan bermain media sosial. Tidak. Ini soal adab,” tegasnya.
Dalam perkongsian sama, Uyaina turut mengimbas pengalamannya menyertai sebuah forum mengenai buli siber bersama personaliti perubatan, Dr. Malar yang pernah menjadi mangsa gangguan melampau di media sosial.
“Saya pernah menyertai sebuah forum mengenai buli siber bersama Dr. Malar. Apa yang dilaluinya jauh lebih teruk. Ada individu yang sanggup mewujudkan halaman bernama ‘Celoteh Malar Petaka’ semata-mata untuk mengejek dan mengganggunya setiap hari.
“Bukan sahaja dirinya, malah seluruh keluarganya turut menjadi sasaran. Individu itu kemudiannya meninggal dunia, tetapi akaun dan segala hantaran jahat yang pernah ditulisnya tidak terpadam. Kalau tidak silap saya, akaun itu masih aktif.
“Dr. Malar pula masih tidak mampu memaafkan individu tersebut walaupun dia sudah meninggal dunia kerana apa yang dilaluinya terlalu menyakitkan,” kongsinya.
Justeru, Uyaina mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan setiap perkataan yang ditulis kerana kesannya mungkin berpanjangan meskipun seseorang itu sudah meninggal dunia.
“Sejujurnya, saya tidak kisah sama ada orang suka saya atau tidak. Suka cara saya mengacara atau berlakon, itu hak masing-masing. Apa yang boleh saya perbaiki, saya akan perbaiki.
“Tetapi apabila sesuatu yang jelas salah dinormalisasikan sehingga menjadi budaya, kemudian orang yang menegur pula dianggap tidak boleh menerima gurauan, itu yang menjadi persoalan.
“Kalau tiada perkara baik untuk diperkatakan, lebih baik berdiam diri. Jaga lisan dan jaga penulisan. Jangan sampai apabila sudah meninggal dunia, barulah hendak menyesal.
“Saya sebenarnya suka Threads. Walaupun memang ada pengguna toksik yang menulis tanpa berfikir panjang, masih ramai pengguna yang baik di sini. Malah, saya lebih menyukai Threads berbanding platform yang dahulunya dikenali sebagai Twitter. Saya sudah lama tidak menjenguk ke sana.
“Kepada masyarakat Melayu dan umat Islam, jadilah duta terbaik yang mencerminkan nilai murni bangsa dan agama kita. Tiada kebencian, hanya kasih sayang buat semua,” ujarnya.











