'Dr. Wong banyak bantu pasangan dapat cahaya mata'

‘Dr. Wong banyak bantu pasangan dapat cahaya mata’

GAMBAR kenangan bersama Dr. Wong Kar Lin yang dikongsi oleh Azly Ahmad di laman Facebook milik beliau, semalam. - FACEBOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kematian Dr. Wong Kar Lin, 73, dalam kejadian tanah runtuh di Taman Seri Rambai, Paya Terubong, di sini kelmarin, meninggalkan kenangan cukup bermakna buat pasangan suami isteri yang pernah dibantunya mendapatkan cahaya mata selepas 12 tahun menanti.

Bagi Pegawai Keselamatan dan Kesihatan, Azly Ahmad, 40, Dr. Wong bukan sekadar seorang doktor, malah, insan yang berjasa besar kepada keluarganya apabila membantu isterinya, Eliana Abdullah, 38, hamil menerusi kaedah rawatan kesuburan semula jadi.

Azly berkata, dia mengenali doktor tersebut sejak 15 tahun lalu menerusi bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) dengan doktor itu tidak pernah jemu berkongsi ilmu serta pengalaman bersama pengamal OSH di Pulau Pinang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, dia mengetahui kepakaran Dr. Wong selepas dimaklumkan oleh seorang rakan daripada Healthcare Osram bahawa doktor itu boleh membantu pasangan yang sukar mendapatkan zuriat pada 2021.

“Rupa-rupanya, beliau bukan sekadar memberikan rawatan perubatan am, tetapi turut membantu ramai pasangan mendapatkan cahaya mata tanpa perlu menjalani rawatan IUI atau IVF.

“Saya dan isteri antara pasangan yang mendapat manfaat daripada ilmu serta bantuan beliau. Alhamdulillah, dengan izin Allah, penantian kami selama 12 tahun akhirnya berakhir,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Azly yang sebelum itu memuat naik status berkenaan ke dalam laman Facebook berkata, Dr. Wong mendalami kaedah Natural Fertility Treatment menerusi NaProTechnology hasil kajian Dr Thomas W. Hilgers ketika berada di Australia sebelum menggunakannya bagi membantu pasangan yang berdepan masalah kesuburan.

Katanya, antara kenangan yang tidak dapat dilupakan ialah ketika menghadiri Persidangan FFM pada 5 Oktober 2022 apabila Dr Wong menjadi individu pertama selain dirinya yang mengetahui berita kehamilan isterinya.

“Beliau hanya melihat carta Creighton Model FertilityCare System (CrMS) dan ketika usia kandungan baru dua minggu beliau sudah dapat membuat ramalan mengenai jantina bayi.

“Saya amat terhutang budi kepadanya kerana kehadiran anak kami, Anaqy, adalah sebahagian daripada perjalanan hidup yang turut dibantu oleh beliau,” katanya.

Tambah Azly, walaupun mereka berlainan agama, tetapi, Dr. Wong sudah dianggap seperti bapa dalam keluarganya, manakala anaknya pula disifatkan seperti cucu kepada doktor berkenaan.

Oleh itu katanya, pemergian Dr. Wong amat dirasai kerana kebaikan dan sumbangan doktor itu bukan sahaja memberi kesan kepada pesakit, malah turut mengubah kehidupan keluarga yang pernah dibantunya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.36 pagi itu, lelaki berusia 73 tahun itu maut selepas tertimbus di bawah runtuhan konkrit apabila tanah runtuh menimpa sebuah rumah di Lebuh Rambai 13, Taman Seri Rambai, Paya Terubong, Air Itam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini