KPT tawar 110 slot Biasiswa Atlet Cemerlang tahun ini

KPT tawar 110 slot Biasiswa Atlet Cemerlang tahun ini

ZAMBRY Abdul Kadir (tengah) pada sesi townhall sempena Majlis Perhimpunan Bulanan KPT di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menawarkan 110 slot Biasiswa Atlet Cemerlang kepada atlet cemerlang tahun ini berbanding 99 slot tahun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, inisiatif itu adalah usaha kerajaan memperluas peluang pendidikan kepada atlet agar supaya bukan sahaja cemerlang dalam sukan sebaliknya mempunyai kelayakan akademik yang tinggi.

“Sebagai contoh, kalau sebelum ini kita sediakan 100 biasiswa setiap tahun. Dan kali ini kita tambahkan lagi. Saya difahamkan untuk tahun ini ke tahun depan kita dapat 110, tambah lagi 10.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi dari tahun ke tahun kita akan tambah, supaya beri ruang kepada saudara-saudari sekalian untuk membangunkan potensi diri,” katanya ketika Majlis Perhimpunan Bulanan KPT di sini, hari ini.

Katanya, berdasarkan kadar elaun sara hidup Biasiswa Atlet Cemerlang yang dimaklumkan, penerima peringkat diploma menerima RM4,730 bagi setiap semester, manakala pelajar ijazah sarjana muda menerima RM5,325.

Manakala, pelajar peringkat sarjana pula menerima RM6,825 bagi setiap semester, manakala penerima ijazah kedoktoran menerima RM6,862.50.

Dalam pada itu, Zambry berkata, atlet yang mewakili negara mempunyai kelebihan tersendiri dan wajar diberi peluang untuk membangunkan potensi dalam bidang akademik serta kemahiran lain.

“Selain itu, yuran pengajian penerima biasiswa dibayar kerajaan terus kepada pihak universiti, selain kemudahan elaun buku dan elaun lain mengikut kadar serta kelayakan yang ditetapkan,” katanya.

Ketika ini, katanya, lebih 35 peratus atlet yang mewakili negara dalam pelbagai acara sukan adalah daripada institusi pendidikan tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia bakal menjadi tuan rumah ASEAN University Games (AUG) buat kali keempat, dengan edisi ke-22 temasya itu dijadual bermula 16 Disember ini yang menghimpunkan atlet universiti dari negara ASEAN itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini