PETALING JAYA: Pemeriksaan lebih teliti perlu dilaksanakan terhadap pelaburan di luar negara bagi mengelakkan ketirisan sebagaimana projek Battersea Power Station di London berulang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan awal dalam projek berkenaan terlalu tinggi dan telah mencatatkan kerugian walaupun usaha kini sedang giat dijalankan untuk memulihkannya semula.
“Saya bersetuju dengan gesaan dan kritikan mengenai beberapa keputusan yang dibuat pada masa lalu berkaitan pelaburan tersebut.
“Walaupun pelbagai usaha kini sedang diambil untuk memulihkannya, pelaburan awal itu terlalu tinggi dan menanggung kerugian. Projek berkenaan kini sedang dipulihkan.
“Saya setuju, kita (mesti) berhati-hati dan memastikan apa yang berlaku terhadap pelaburan Battersea di UK tidak berulang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang mempersoalkan pelaburan berbilion ringgit dalam projek Battersea Power Station, dengan menegaskan dana berkenaan sepatutnya boleh disalurkan ke dalam pelaburan domestik.
Sebagai rekod, projek Battersea Power Station merupakan projek penjanaan semula berskala besar yang diterajui konsortium Malaysia merangkumi SP Setia Bhd., Sime Darby Property Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB).
Dalam pada itu Anwar berkata, kerajaan telah mengutamakan pelaburan domestik sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dijangka memperuntukkan sekurang-kurangnya 20 peratus daripada pelaburan mereka dalam pasaran tempatan.
Katanya, kadar tersebut akan ditingkatkan mengikut kesediaan dan kapasiti masing-masing. – UTUSAN











