Penguatkuasaan penuh peranti had laju ditangguh

Penguatkuasaan penuh peranti had laju ditangguh

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan penuh peranti had laju (Speed Limitation Device-SLD) bagi kenderaan perdagangan ditangguhkan sehingga kerangka perundangan berkaitan pemasangan, pengesahan dan penguatkuasaannya dimuktamadkan serta diwartakan.

Menteri pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penangguhan itu bukan bermaksud pelaksanaan SLD dibatalkan atau kenderaan terlibat dikecualikan daripada keperluan berkenaan.

Sebaliknya ia bagi memberi tempoh peralihan mencukupi kepada industri untuk melengkapkan proses pematuhan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kementerian sedang memperkemas tatacara pengesahan pemasangan dan kefungsian SLD serta sistem rekod pematuhan supaya maklumat berkaitan pemasangan, pengesahan dan status pematuhan kenderaan dapat diselaraskan dengan lebih teratur.

“Walaupun penguatkuasaan penuh ditangguhkan, JPJ terus menjalankan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan interim yang bersesuaian dalam tempoh peralihan ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Pelaksanaan peranti itu berasaskan Peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu No. 89 (UNR 89), dengan had kelajuan maksimum ditetapkan pada 90 kilometer sejam bagi kategori kenderaan berkenaan.

Pelaksanaan SLD secara berfasa bermula 1 Oktober 2025 bagi kategori kenderaan perdagangan yang ditetapkan sebagai salah satu intervensi keselamatan jalan raya untuk mengawal kelajuan maksimum kenderaan berat dan mengurangkan risiko kemalangan.

Kementerian Pengangkutan pada 30 Jun lalu mengumumkan penangguhan penguatkuasaan penuh SLD yang pada asalnya dijadualkan bermula 1 Julai.

Antara isu yang dikenal pasti ialah perbezaan sistem dan teknologi antara model kenderaan, termasuk unit kawalan elektronik (ECU) yang tidak serasi dengan pemasangan SLD.

Katanya lagi, pihak kementerian akan memuktamadkan kerangka perundangan khusus berkaitan pemasangan, pengesahan dan penguatkuasaan SLD.

Penguatkuasaan penuh jelasnya lagi, akan dilaksanakan setelah kerangka perundangan tersebut diwartakan dan beberapa perkara pelaksanaan dimuktamadkan.

“Tarikh penguatkuasaan penuh akan diumumkan lebih awal kepada pihak industri setelah perkara-perkara tersebut dimuktamadkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini