RIYADH: Pakatan diketuai Arab Saudi yang memerangi kumpulan Houthi di Yaman berkata pada Selasa bahawa pihaknya memintas tiga peluru berpandu yang dilancarkan kumpulan itu ke arah wilayah timur kerajaan berkenaan.
“Pertahanan udara memintas dan memusnahkan tiga peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh Houthi ke arah Wilayah Timur,” tulis jurucakap gabungan itu, Turki Al-Maliki, di platform X.
Sejak akhir-akhir ini, Houthi menyerang Arab Saudi menerusi peluru berpandu dan dron.
Riyadh mengetuai gabungan ketenteraan yang mula campur tangan dalam konflik di Yaman pada 2015, yang telah memusnahkan negara tersebut dan mencetuskan antara krisis kemanusiaan terburuk di dunia.
Peningkatan mendadak konflik di Yaman, dengan Houthi menguasai seluruh pesisir Laut Merah menerusi serangan pantas, terus menggugat kestabilan rantau itu dan mengganggu pasaran minyak.
Pada Julai, gencatan senjata rapuh yang dimeterai pada 2022 runtuh selepas Houthi membenarkan sebuah pesawat Iran mendarat di ibu negara Yaman, Sanaa, tanpa menghiraukan kawalan Arab Saudi terhadap ruang udara negara berkenaan, sekali gus mencetuskan gelombang serangan.
Houthi kemudian mengisytiharkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi.
Kumpulan itu mula menyerang kapal, wilayah dan kemudahan minyak negara itu sebelum melancarkan serangan besar-besaran pada September, menyaksikan mereka merampas wilayah di sepanjang pesisir Laut Merah yang sebelum ini dikuasai kerajaan Yaman.
Sebagai tindak balas, Houthi turut melaporkan serangan udara Arab Saudi yang kerap menyasarkan kawasan di bawah kawalan mereka. – AGENSI











