Lufthansa Airlines kembali ke KLIA selepas hampir sedekad

Lufthansa Airlines kembali ke KLIA selepas hampir sedekad

Chiew Choon Man (tujuh kiri) bergambar bersama krew penerbangan Lufthansa selepas menyambut ketibaan penerbangan sulung Lufthansa dari Frankfrut ke Kuala Lumpur di KLIA Terminal 1. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa kembali menghubungkan Kuala Lumpur dengan Frankfurt selepas hampir sedekad, sekali gus membuka semula laluan udara secara terus antara Malaysia dengan hab penerbangan utama Eropah itu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kepulangan Lufthansa itu juga bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026–2027 yang menyasarkan peningkatan ketibaan pelawat antarabangsa menerusi pengukuhan hubungan udara dan akses ke pasaran pelancongan utama dunia.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Lufthansa atas pencapaian penting ini serta menghargai keyakinan berterusan syarikat penerbangan itu terhadap pasaran Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perkhidmatan baharu ini mengukuhkan hubungan antara Malaysia, Jerman dan pasaran Eropah yang lebih luas, selain membuka lebih banyak peluang dalam pelancongan serta perniagaan,” katanya.

Teks ucapan King Sing sempena majlis menyambut penerbangan sulung Lufthansa dari Frankfurt ke Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini hari ini, dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man.

Menurutnya, perkhidmatan yang beroperasi lima kali seminggu sepanjang tahun itu turut menawarkan lebih banyak pilihan perjalanan kepada penumpang, selain mengukuhkan kedudukan KLIA sebagai pintu masuk penting yang menghubungkan Asia Tenggara dengan Eropah.

“Malaysia menerima 42.2 juta pelawat pada tahun lalu, meningkat 11.16 peratus berbanding tahun sebelumnya dan kita berhasrat meneruskan momentum positif itu dengan memperkukuh kehadiran dalam pasaran Eropah.

“Bagi tahun ini, bermula Januari hingga Ogos, Malaysia merekodkan 1.18 juta pelawat dari Eropah, meningkat 1.2 peratus berbanding 1.16 juta pelawat dalam tempoh sama tahun lalu.

“Jerman turut menjadi pasaran penting dengan 116,824 pelawat direkodkan dari negara itu bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu. Lebih 700 syarikat Jerman juga beroperasi di Malaysia, sekali gus menjadikan hubungan udara secara terus itu penting bagi mengukuhkan hubungan perniagaan dan pertukaran antara rakyat kedua-dua negara,” ujarnya.

Tambahnya lagi, perkhidmatan itu juga dijangka menyumbang bukan sahaja kepada pertumbuhan sektor pelancongan, malah memperkukuh perdagangan, pelaburan, perniagaan dan pertukaran budaya antara Malaysia dengan Jerman.

Sementara itu, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menyatakan bahawa kepulangan syarikat penerbangan utama Eropah itu memperkukuh rangkaian penerbangan jarak jauhnya, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan kepada penumpang untuk ke pusat perniagaan dan destinasi lain di luar hab utama Eropah.

Pengarah urusannya, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, kedudukan KLIA sebagai lapangan terbang antarabangsa keempat paling terhubung di dunia berdasarkan Indeks Megahub OAG 2026 mencerminkan kekuatan rangkaian penerbangannya.

Jelasnya, sepanjang Januari hingga September lalu, KLIA mengendalikan 1.1 juta penumpang bagi laluan Eropah, meningkat 29.7 peratus berbanding tempoh sama pada 2025, sekali gus mengukuhkan kepentingan pasaran itu dalam rangkaian antarabangsa lapangan terbang berkenaan.

“Memperkukuh kedudukan itu memerlukan usaha mendapatkan perkhidmatan penerbangan yang dapat memperluas capaian kami ke pasaran penting. Kepulangan Lufthansa memenuhi matlamat itu dengan menghubungkan KLIA kepada hab utama Eropah serta memudahkan akses ke Malaysia dari bandar-bandar yang tidak mempunyai perkhidmatan penerbangan terus dengan kami.

“Bagi sektor perniagaan, perkhidmatan ini menyokong hubungan yang lebih erat dengan pelanggan dan pelabur. Bagi industri pelancongan pula, ia membuka peluang untuk menarik pelawat dari pasaran Eropah yang lebih luas. Inilah hubungan yang sedang kami usahakan iaitu perkhidmatan yang mampan dari segi komersial, memperkukuh daya saing KLIA dan memberikan nilai jangka panjang kepada ekonomi Malaysia,” katanya.

Dikendalikan menggunakan pesawat Boeing 787-9 Dreamliner, perkhidmatan itu menambah kira-kira 75,000 tempat duduk sehala setiap tahun antara Kuala Lumpur dengan Frankfurt. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini