Tanah runtuh: NGO desak kerajaan jelas punca sebenar

Tanah runtuh: NGO desak kerajaan jelas punca sebenar

KEJADIAN tanah runtuh yang berlaku di Taman Seri Rambai, Paya Terubong, George Town, Pulau Pinang kelmarin mengorbankan seorang warga emas lelaki yang juga merupakan seorang doktor berusia 73 tahun. – UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pelbagai pihak mendesak kerajaan negeri untuk menjelaskan punca sebenar berlakunya kejadian tanah runtuh di Taman Seri Rambai, Paya Terubong di sini kelmarin sehingga mengorbankan seorang lelaki berusia 73 tahun.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), R. Meenakshi berkata, kejadian itu menimbulkan kebimbangan berikutan kawasan berkenaan dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tanah runtuh dan turut menempatkan kerja pemotongan bukit bagi projek pembinaan jalan raya.

Katanya, penduduk serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk SAM sebelum ini telah memberi amaran bahawa kerja-kerja berskala besar di kawasan sensitif alam sekitar itu boleh mengancam keselamatan penduduk berhampiran dan orang awam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Malangnya, kejadian ini sekali lagi membuktikan kebimbangan yang dibangkitkan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Negeri, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Pulau Pinang, Andika Putera berkata, pihaknya menuntut penelitian serius terhadap pe­rancangan pembangunan, kelulusan projek di kawasan berisiko serta keberkesanan pemantauan daripada pihak berkuasa di negeri ini.

“Kami hairan bagaimana projek pembangunan di kawasan berisiko tanah runtuh boleh diluluskan tanpa jaminan ke­selamatan yang meyakinkan kepada penduduk.

“Oleh itu, kami ingin mempersoalkan sama ada penilaian risiko cerun, kajian geoteknikal dan langkah mitigasi telah dilaksanakan serta dipantau dengan sewajarnya.

“Jika terdapat kelemahan dalam proses kelulusan atau pemantauan, pihak yang bertanggungjawab mesti dipertanggungjawabkan,” katanya.

Tambah Andika, nyawa rakyat tidak boleh menjadi harga yang perlu dibayar akibat kelemahan perancangan dan penguatkuasaan dan dalam hal ini, kerajaan negeri mesti memberikan penjelasan berdasarkan fakta, bukan sekadar kenyataan bahawa siasatan sedang dijalankan.

“Jangan tunggu lebih banyak nyawa terkorban sebelum tindakan tegas diambil. Keselamatan rakyat mesti mengatasi kepentingan pembangunan,” ujar beliau.

Bagi Timbalan Presiden me­rangkap Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong, tragedi seperti itu tidak sepatutnya berlaku pada masa ini.

Katanya, bagi memastikan ia tidak berulang pada masa depan, beliau mahu kerajaan negeri membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap cerun serta projek di lereng bukit dan tanah tinggi yang bersebelahan kawasan perumahan di Pulau Pinang.

“Sekiranya terdapat pelanggaran peraturan atau kecuaian pengawasan, pihak yang bertanggungjawab mesti dikenakan tindakan mengikut undang-undang,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini