MELAKA: Pemberian bantuan khas kewangan RM1,000 kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah bukan usaha untuk memancing undi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, bantuan berkenaan bukan khusus untuk penerima di Melaka sahaja iaitu seramai 200 orang malah melibatkan hampir 12,000 individu penerima lain di seluruh negara.
Beliau berkata, pelaksanaan program itu dilakukan secara berperingkat-peringkat mengikut negeri dan majlis penyerahan bantuan di Melaka hari ini merupakan sebahagian daripada siri program yang telah diadakan sebelum ini.
Menurutnya, pemberian bantuan kewangan itu adalah hasil kutipan sebanyak RM91.21 juta daripada bidaan nombor pendaftaran istimewa (NPI) siri ‘H’ yang diperkenalkan sempena sambutan Hari Malaysia oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Ini semua untuk pemandu teksi di seluruh negara, bukan hanya di Melaka sahaja. Hari ini saya di Melaka minggu lepas saya di Negeri Sembilan dan sebelum ini di Pulau Pinang serta Putrajaya.
“Saya ingin betulkan kekeliruan fakta kononnya pemberian bantuan khas di Melaka hari ini untuk memancing undi PRN Melaka sebenarnya ia untuk semua pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di seluruh negara yang dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Di setiap negeri, pemandu teksi dan kereta sewa juga akan mendapat bantuan khas ini,” katanya semasa akhbar selepas Majlis Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah di Auditorium Kompleks CMI, Ayer Keroh, di sini hari ini.
Menurut Anthony Loke, bantuan RM1,000 itu diberikan kepada pemandu yang memenuhi syarat ditetapkan tanpa mengira lokasi mereka beroperasi.
Katanya, penerima perlu menjadi ahli kelab pemandu yang sah serta mempunyai kad pemandu yang disahkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi membolehkan maklumat mereka dikenal pasti menerusi sistem pembayaran.
Jelasnya, pemandu yang layak tetapi tidak dapat menghadiri majlis penyerahan bantuan tidak akan tercicir kerana bayaran akan disalurkan terus ke akaun bank masing-masing melalui kaedah pindahan yang ditetapkan.
“Kami akan mendapatkan data mereka dalam sistem dan bantuan RM1,000 itu akan diberikan. Kami berharap proses pembayaran dapat dipercepatkan dalam tempoh satu hingga dua minggu ini,” katanya.
Beliau berkata, kira-kira 12,000 penerima dijadual menerima bayaran bermula hari ini, dengan wang bantuan dijangka dikreditkan ke akaun bank masing-masing dalam tempoh dua hingga tiga hari.
Tambahnya, kerajaan berharap bantuan itu dapat meringankan beban golongan pemandu yang berdepan tekanan kos sara hidup serta perbelanjaan mengurus kenderaan untuk mencari pendapatan. – UTUSAN











