JOHOR BAHRU: Program sambutan Tahun Melawat Johor 2026 (Visit Johor 2026) yang disambut tahun ini akan dilanjutkan tahun depan bagi merai sektor pelancongan di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkara itu selari dengan beberapa inisiatif yang akan bermula tahun depan, termasuklah perkhidmatan perkhidmatan Sistem Transit Rapid (RTS Link).
“Pada Februari depan, akan ada satu projek ‘game changer’ yang berlaku iaitu pengoperasian RTS Link. Projek ini bakal bermula sebelum sambutan Tahun Baharu Cina akan datang.
“Apabila ia beroperasi kelak, ia akan menarik kehadiran lebih ramai pengunjung ke Johor, sekaligus menjana ekonomi setempat. Sehubungan itu, Tahun Melawat Johor 2026 akan dilanjutkan kepada Tahun Melawat Johor 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Town Hall Melawat Johor 2026 di Hotel Sheraton, di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Kebudayaan Johor, P. Pannir Selvam.
Tambah Onn Hafiz, kerajaan negeri menyasarkan kehadiran seramai 12 juta pelancong menginap dengan jangkaan impak ekonomi sebanyak RM42 bilion sepanjang penganjuran Tahun Melawat Johor 2026
“Bagi tahun ini, kita telah belanjawan RM187 juta untuk menaik taraf dan menyediakan infrastruktur pelancongan seluruh negeri, kita jangka akan tambah RM50 juta bagi tujuan sama, tahun depan.
“Berdasarkan data Tourism Malaysia, seramai 4.7 juta pelancong menginap telah direkodkan bagi tempoh antara Januari hingga Jun di seluruh negeri. Kita mahu lebih ramai pengunjung memilih untuk bermalam, meneroka dan berbelanja,” katanya.
Sementara itu, Pannir Selvam berkata, pengumuman rasmi berhubung sambutan Tahun Melawat Johor 2027 akan dibuat Menteri Besar pada pembentangan Belanjawan Johor 2027, tidak lama lagi.
“Kalau kita lihat, banyak antara produk-produk pelancongan kita siap pada pertengahan tahun ini, ada juga yang siap menjelang akhir tahun iaitu semasa sambutan Tahun Melawat Johor 2026.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah umum melanjutkan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2027, jadi kita ikut sekali. Ini memberi peluang kepada kita promosikan banyak produk pelancongan yang baharu siap,” katanya.-UTUSAN











