KUALA KRAI: Seorang ibu hampir pitam selepas mendapat berita mengenai dua anak lelaki dan menantunya meninggal dunia selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka bertembung dengan sebuah trak pikap milik syarikat utiliti di Kilometer 90 Jalan Kuala Terengganu -Kuantan berhampiran Bukit Bauk, Dungun di Terengganu semalam.
Dalam nahas kira-kira pukul 5 petang itu, Mohamad Zulkifli Ishak, 32, dan isterinya, Norshila Zali, 36, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala adik kepada Mohamad Zulkifli, Muhammad Alif Syukri, 18, menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Dungun.
Adik kepada Allahyarham Mohamad Zulkifli, Ruqaiyah, 28, berkata, ibunya, Seedah Arwea, 51, hampir pitam selepas mendapat tahu berita dua anak dan menantu maut selepas dimaklumkan oleh rakan abangnya yang ke rumah mereka di sini, kira-kira pukul 7 malam semalam.
Ruqaiyah berkata, abang sulungnya itu terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Sungai Durian di sini selepas menjemput Muhammad Alif Syukri yang merupakan adik bongsu daripada lima beradik di Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas), Kuantan, Pahang.
“Abang bertolak dari rumahnya kira-kira pukul 3 petang kelmarin dan pulang ke Kelantan petang semalam. Sebelum terbabit dalam kemalangan, saya ada menghantar WhatsApp kepadanya dengan bertanya sama ada di sudah bertolak pulang atau sebaliknya.
“Kira-kira 20 minit kemudian, arwah abang membalas WhatsApp bahawa dia sudah bertolak dari Kuantan tetapi mahu singgah memancing sebelum bertolak balik ke Kelantan,” katanya ketika ditemui dii rumahnya di Kampung Pasir Era di sini, hari ini.
Ruqaiyah berkata, dia dan keluarga tidak berasa bimbang kerana arwah abang memang suka singgah di satu-satu lokasi dan sering tiba pada lewat malam.
Katanya, kali terakhir ahli keluarga bercakap dengan Allahyarham Muhammad Alif Syukri pada malam Sabtu lalu menerusi panggilan video.
“Kami bercakap dan berborak seperti biasa. Tiada sebarang perubatan sikap ditunjukkan oleh arwah ketika kami berhubung menerusi panggilan video itu.
“Jenazah arwah abang dan adik bongsu kami tiba di rumah kira-kira pukul 9 pagi tadi untuk disemadikan Tanah Perkuburan Islam, Kampung Pasir Era. Jenazah kakak ipar saya pula dikebumikan di Ketereh, Kota Bharu,” ujarnya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, sewaktu kejadian, ssemua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke Kampung Pasir Era dselepas menjemput Muhammad Alif Syukri di Polisas.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, SUV jenis Nissan Grand Livina dipandu Mohamad Zulkifli dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.
“Sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux milik sebuah syarikat utiliti gagal mengelak lalu merempuh bahagian kiri kenderaan dinaiki tiga sekeluarga terbabit,” katanya. – UTUSAN











