TA Securities semak turun unjuran inflasi kepada 1.9% tahun ini

TA Securities semak turun unjuran inflasi kepada 1.9% tahun ini

GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: TA Securities Holdings Berhad menyemak turun unjuran inflasi keseluruhan Malaysia bagi 2026 kepada 1.9 peratus daripada 2.1 peratus sebelum ini, susulan kadar inflasi lebih rendah daripada jangkaan pada September serta tekanan kos yang masih terkawal.

Firma pembrokeran berkata, Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 1.8 peratus tahun ke tahun pada September, lebih rendah berbanding 1.9 peratus pada Ogos dan di bawah jangkaan pasaran sebanyak 1.9 peratus serta unjuran firma sebanyak 2.0 peratus.

Katanya, kenaikan harga yang lebih perlahan bagi kumpulan makanan dan minuman serta perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain membantu mengimbangi inflasi pengangkutan yang lebih tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dengan inflasi bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 mencatatkan purata 1.8 peratus tahun ke tahun, anggaran mudah berdasarkan kadar inflasi tahunan bulanan menunjukkan bahawa inflasi perlu mencatatkan purata sekitar 3.0 peratus pada suku keempat 2026 untuk mencapai unjuran terdahulu sebanyak 2.1 peratus. 

“Peningkatan sedemikian memerlukan pemangkin yang lebih kuat berbanding perkembangan yang dapat dilihat ketika ini,” katanya dalam nota penyelidikan.

TA Securities berkata, bacaan inflasi September menunjukkan tekanan harga pengguna kekal terkawal, dengan bukti terhad mengenai peningkatan harga secara meluas.

Katanya, penyederhanaan inflasi utiliti, bersama-sama inflasi teras sebanyak 1.7 peratus tahun ke tahun, menunjukkan peningkatan kos di peringkat huluan masih belum diterjemahkan kepada tekanan harga pengguna secara meluas.

Tambahnya, inflasi pengangkutan yang lebih tinggi dan kenaikan harga makanan di luar rumah menunjukkan tekanan kos masih wujud dalam segmen tertentu.

“Kami menjangkakan tekanan menaik terhadap inflasi pada suku keempat 2026, namun peningkatannya berkemungkinan lebih beransur-ansur berbanding jangkaan sebelum ini.

“Sehubungan itu, unjuran inflasi bagi suku keempat disemak kepada 2.1 peratus tahun ke tahun,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, firma berpandangan bacaan inflasi terkini mengurangkan keperluan mendesak untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada mesyuarat terakhir Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada 5 November 2026.

TA Securities berkata, kemungkinan kenaikan OPR masih wujud, namun kebarangkaliannya dalam tempoh terdekat berkurangan susulan bacaan inflasi September yang lebih rendah.

“Kami terus menjangkakan inflasi mencatatkan purata lebih tinggi pada 2027, berkemungkinan sekitar 2.2 peratus, bergantung pada masa dan tahap pelarasan dasar serta pelarasan harga oleh perniagaan.

“Antara faktor yang berpotensi mendorong inflasi termasuk pemindahan kos yang tertangguh kepada pengguna, kos buruh yang lebih tinggi dan perubahan harga yang ditetapkan atau dikawal selia oleh kerajaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini