Faisal Halim rehat tiga bulan

Faisal Halim rehat tiga bulan

Faisal Halim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harimau Malaya kehilangan khidmat Faisal Halim bagi menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa bulan depan selepas pemain sayap lincah itu terpaksa berehat tiga bulan berikutan kecederaan otot serius.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC (SFC), Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, pemulihan Faisal yang lebih dikenali sebagai Mickey menunjukkan perkembangan positif, namun pemain itu masih memerlukan masa sebelum kembali ke tahap kecergasan terbaik.

Menurutnya, kecederaan berkenaan membabitkan koyakan otot yang agak teruk dan memerlukan tempoh pemulihan rapi bagi mengelakkan risiko kecederaan berulang apabila kembali beraksi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemulihan beliau nampak positif, tetapi ototnya mengalami koyakan agak teruk. Saya fikir dalam tempoh dua hingga tiga bulan ini, beliau boleh kembali menyertai pasukan dalam latihan dan perlawanan. Januari adalah tarikh paling selamat untuk beliau kembali,” katanya.

Sebagai rekod, Faisal mengalami kecederaan pada perlawanan kedua Kumpulan A Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA menentang Indonesia pada 27 September lalu.

Ketiadaan Faisal pastinya memberi cabaran kepada pengendali interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dalam merencana jentera serangan bagi menghadapi aksi persahabatan menentang China pada 14 November dan Yaman pada 17 November ini.

Situasi itu bagaimanapun membuka ruang kepada pemain lain untuk membuktikan kemampuan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain sayap Selangor FC itu dalam skuad kebangsaan.

Dalam perkembangan sama, Selangor turut mengambil langkah rasmi mengemukakan tuntutan pampasan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan kelab kini dalam fasa melengkapkan fail serta dokumentasi berkaitan bagi memenuhi prosiding pampasan berkenaan.

“SFC akan mengumpul dokumen yang diperlukan untuk menyokong tuntutan kepada FIFA itu,” jelasnya.

Permohonan terbabit dibuat berdasarkan garis panduan perlindungan pemain yang ditetapkan oleh badan induk dunia berkenaan, di mana terdapat klausa pampasan FIFA bagi pemain yang tidak dapat pulih dalam tempoh 28 hari akibat kecederaan ketika menyertai tugasan antarabangsa, tertakluk kepada syarat kelayakan yang ditetapkan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini