KLANG: Enam individu termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh antara penerima Darjah Kebesaran Kelas Pertama sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor di Istana Alam Shah hari ini.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan darjah kebesaran itu pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor.
Istiadat itu turut menyaksikan keberangkatan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Mendahului senarai penerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) yang membawa gelaran Datuk Seri ialah Pengerusi Arka Berhad, Datuk Syed Budriz Putra Jamalullail.
Senarai penerima kemudian diikuti Fadillah, Wan Ahmad Farid dan Pengerusi Eksekutif Westports Holdings Sdn. Bhd., Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah.
Sementara itu, Darjah Kebesaran Dato’ Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S) dikurniakan kepada Timbalan Pengerusi 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad, Datuk Richard Alexander John Curtis dan bekas Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Datuk Salim Soib @ Hamid.
Turut berlangsung, Istiadat Pemasyhuran Gelaran, Mengangkat Sumpah serta Menjunjung Duli Orang-Orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor.
Dalam istiadat itu, dua individu dimasyhurkan sebagai Orang Besar Istana iaitu Raja Datuk Reza Alhaj Raja Datuk Zaib Shah Alhaj yang dikurniakan gelaran pangkat Engku Sri Paduka Diraja.
Turut dimasyhurkan sebagai Orang Besar Istana ialah Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Datuk Ardy Esfandiari Alhaj yang dikurniakan pangkat gelaran Tengku Orang Kaya Menteri Diraja.
Sultan Sharafuddin turut berkenan memasyhurkan gelaran Dato’ Diraja Selangor kepada Pengerusi Yayasan Jantung Malaysia, Datuk Dr. Aljafri Abdul Majid yang membawa gelaran Dato’ Sri Maharaja Diraja. – UTUSAN











