PETALING JAYA: Hanya selangkah sahaja lagi untuk beregu wanita No. 1 Malaysia, Pearly Tan-M. Thinaah mengulangi pencapaian, empat tahun lalu, menjulang gelaran pada final Kejohanan Badminton Terbuka Perancis di Tremblay-en-France, Perancis, esok.
Pada separuh akhir, hari ini, gandingan No. 4 dunia itu menewaskan beregu No. 5 dunia, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dari Jepun 21-17, 22-20 dalam masa 47 minit.
Kemenangan yang dicatat Pearly-Thinaah itu telah meletakkan mereka mendahului selesa ke atas Iwanaga-Nakanishi dengan rekod pertemuan 9-2.
Pearly-Thinaah kini menanti pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara beregu No. 3 dunia, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto atau pasangan No. 7 dunia, Rachel Allessya Rose-Febi Setianingrum untuk menentukan lawan mereka pada final.
Seandainya Fukushima-Matsumoto menjadi lawan Pearly-Thinaah, kedua-dua beregu tersebut terikat dengan rekod pertemuan 5-5, tetapi, empat pertembungan terakhir berpihak kepada wakil Jepun itu.
Namun sekiranya pasangan Indonesia yang menjadi pencabar Pearly-Thinaah, maka, mereka memiliki kelebihan psikologi dengan rekod pertemuan 4-0 sebagai bekalan.
Thinaah sewaktu ditemu bual wakil BWF berkata, dia gembira akhirnya dapat kembali berada dalam perlawanan akhir di Terbuka Perancis dan pada edisi 2022, mereka tidak menduga sama sekali mampu menjulang gelaran pada kejohanan berstatus Super 750 itu.
“Kehadiran kami pada tahun ini pula, ramai yang mengharapkan sesuatu daripada kami berdua dan saya rasa kami mahu menjadikan kepercayaan itu sebagai satu motivasi untuk terus memburu kejuaraan,” katanya.
Dalam mengekalkan permainan konsisten, Thinaah memberitahu, penting untuk dia dan Pearly saling menyokong di antara satu sama lain tanpa mengira keputusan yang dicatat mereka.
Pearly yang kini memburu gelaran kedua berturut-turut pada Jelajah Dunia BWF bersama Thinaah selepas menjuarai Terbuka Denmark, minggu lalu pula berkata, dia seboleh mungkin mahu menikmati permainannya tanpa mengira menang ataupun kalah.
“Saya hanya mahu memikirkan bagaimana hendak bermain dengan sangat baik dalam setiap permainan rali dan pukulan yang dilakukan kerana menikmati detik tersebut adalah lebih penting disebabkan saya sangat sayangkan sukan badminton,” ujarnya. – UTUSAN











