Jangan hanya tuding jari, fokus selesaikan masalah rakyat – Amirudin

Jangan hanya tuding jari, fokus selesaikan masalah rakyat – Amirudin

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berucap pada Program Madani Kita (PMK) Bersama-sama Komuniti Sungai Ramal di Sekolah Kebangsaan Jalan 3 di sini hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Sikap saling menuding jari dan menyalahkan pihak lain tidak akan menyelesaikan masalah rakyat sebaliknya hanya membangkitkan kemarahan serta perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, daripada terus menyalahkan pihak lain tumpuan utama seharusnya diberikan kepada usaha mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi rakyat.

Beliau berkata, pembangunan negara perlu berpandukan matlamat yang jelas, termasuk memastikan rakyat terus bersatu padu serta dapat menikmati manfaat daripada pencapaian ekonomi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keutamaan kerajaan bukan sekadar memastikan pertumbuhan ekonomi yang baik tetapi juga supaya kemajuan tersebut dapat diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan dan taraf hidup rakyat. Fokusnya bukan mencari masalah tetapi menyelesaikan masalah.

“Jika semua masalah yang terjadi disalurkan kepada kemarahan dan perbezaan, ia tidak akan menyelesaikan masalah,” katanya ketika berucap pada Program Madani Kita (PMK) Bersama-sama Komuniti Sungai Ramal di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, Selangor terus mencatatkan perkembangan ekonomi yang memberangsangkan apabila nilai ekonomi negeri kini mencecah kira-kira RM460 bilion.

Menurutnya, negeri itu turut menyumbang kira-kira 26 peratus kepada ekonomi negara, sekali gus memperlihatkan peranan penting Selangor dalam memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Maknanya, daripada setiap RM10 yang ada di poket Malaysia, RM2.60 adalah daripada kita. Kita adalah penyumbang ekonomi yang besar. Nilai ekonomi kita RM490 bilion,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga terus memberikan perhatian kepada aspek pendidikan termasuk meningkatkan perbelanjaan pendidikan kepada RM138 juta bagi memperluas manfaat kepada anak-anak Selangor.

“Tahun lepas, antara program yang kita tambah adalah program pendidikan negeri Selangor. Perbelanjaan pendidikan kita meningkat RM50 juta, kita tingkatkan menjadi RM138 juta.

“Kita tambah program pendidikan dan bantu anak-anak yang tidak mendapat pendidikan awal,” katanya.

Selain itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri turut membantu kira-kira 4,000 pelajar dengan menanggung sebahagian hutang pendidikan mereka bagi meringankan beban kewangan yang dihadapi.

“Katakanlah mereka berhutang RM21,000 dengan pendidikan negeri. Kerajaan negeri akan bayar RM11,000 daripada hutang tersebut.

“Anak-anak negeri Selangor tidak perlu membayar hutang yang tinggi kerana sebahagiannya akan ditanggung oleh kerajaan negeri,” katanya.  – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini