Epic Berhad rangkul anugerah kecemerlangan industri 2026

Epic Berhad rangkul anugerah kecemerlangan industri 2026

MUHTAR Suhaili (dua dari kanan) menerima Anugerah Kecemerlangan Sektor Perkhidmatan (Kategori 4) daripada Johari Abdul Ghani (dua dari kiri) pada Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026 anjuran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: EPIC Berhad melakar kejayaan apabila julung kali merangkul Anugerah Kecemerlangan Sektor Perkhidmatan (Kategori 4) pada Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026 anjuran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Syarikat milik Kerajaan Negeri Terengganu di bawah Kumpulan Terengganu Inc. itu menewaskan dua lagi pemain industri pelabuhan negara, iaitu Northport Malaysia Berhad dan Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd. dalam kategori berkenaan.

Majlis penganugerahan yang berlangsung di Menara MITI, Kuala Lumpur disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Memuatkan artikel berkaitan…

Anugerah Kecemerlangan Industri yang diperkenal MITI pada 1991 adalah pengiktirafan kepada syarikat yang mencapai kecemerlangan dalam amalan pengurusan, menawarkan produk dan perkhidmatan berkualiti serta memberikan nilai tambah kepada pelanggan dan pihak berkepentingan.

Anugerah yang dianjurkan setiap dua tahun itu turut bertujuan menggalakkan daya saing, produktiviti dan kecemerlangan dalam kalangan pemain industri negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, kejayaan itu adalah hasil dedikasi seluruh warga kerja dalam memacu kemajuan syarikat selain mencerminkan keupayaan kumpulan berkenaan dalam sektor perkhidmatan industri.

Katanya, pengiktirafan itu turut membuktikan komitmen syarikat terhadap kecemerlangan pengurusan dan usaha berterusan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.

“Kejayaan merangkul anugerah ini membawa makna yang cukup besar buat Kumpulan EPIC kerana ia adalah hasil komitmen yang digalas bersama dalam membangunkan organisasi yang berdaya saing, berorientasikan prestasi dan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.

“Pengiktirafan ini juga menjadi pemangkin untuk terus meningkatkan standard prestasi, memperkukuh keupayaan organisasi dan memastikan pertumbuhan yang dicapai dapat dikekalkan secara mampan,”katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, EPIC Berhad merekodkan prestasi kewangan terbaik dalam sejarah syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (TK2025), dengan hasil meningkat kepada RM411.9 juta berbanding RM403.8 juta pada tahun sebelumnya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini