KUALA LUMPUR: Empat sekawan masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini selepas terlibat dalam satu pergaduhan di sebuah tokong, Isnin lalu.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Tiong Wen Wen selepas tertuduh Foo Je Kit, 19; Alvin Hw Jun Mun, 19; Yeo Ji Kang, 18, dan Lai Jian Lung, 20, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan.
Mahkamah turut memerintahkan keempat-empat mereka dipenjara satu bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama telah melakukan gaduh gempar di tempat awam iaitu sebuah tokong di Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, di sini, pada pukul 12.01 tengah malam, 19 Oktober lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 159 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 160 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum empat bulan atau denda boleh sampai RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aizudin Radthuan mencadangkan hukuman setimpal sebagai pengajaran mengambil kira faktor kepentingan awam.
Bagaimanapun, kesemua tertuduh dalam rayuannya memohon agar dikenakan denda yang rendah atas alasan masih di usia muda selain masing-masing tiada pekerjaan tetap.
Pada Isnin lalu, seramai 13 lelaki termasuk remaja ditahan selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan di sebuah tokong.
Kejadian yang berlaku pada tengah malam itu berjaya dileraikan oleh sepasukan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas di lokasi berkenaan.
Anggota rela turut merampas dua objek termasuk sebatang cota besi dan sebatang kayu besbol dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.-UTUSAN








