DI Malaysia, Hari Alam Sekitar Negara (HASN) pada 21 Oktober lalu menjadi teras utama manakala sambutan lain seperti Hari Habitat Sedunia, Hari Burung Hijrah Sedunia dan Hari Tindakan Iklim Antarabangsa turut menguatkan mesej bahawa bumi ini sedang meminta kita bertindak.
HASN 2026 yang masih membawa tema ‘Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama’, menekankan tindakan bersepadu antara kerajaan, industri, sekolah dan komuniti.
Sepanjang Oktober, pelbagai program interaktif digerakkan seperti kempen kitar semula, pengumpulan sisa elektronik, penanaman pokok, cintai sungai serta aktiviti riadah seperti larian alam sekitar dan kayuhan basikal.
HASN mengingatkan yang setiap tindakan kecil seperti mengurangkan plastik sekali guna dan menjimatkan tenaga boleh memberi impak besar kepada ekosistem.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) selaku penganjur utama HASN 2026 boleh menjalinkan kolaborasi strategik bersama Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menggerakkan kempen ‘Dua Jam Kelestarian’ di semua sekolah seluruh negara.
Melalui kerjasama ini, JAS boleh menyediakan modul digital, pengisian ilmiah interaktif dan kepakaran teknikal, selain menyelaraskan pengiktirafan melalui Program Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar (SLAAS).
KPM boleh memberikan komitmen padu dengan mengeluarkan arahan rasmi untuk menggerakkan semua sekolah rendah dan menengah secara serentak, di samping menyepadukan pengisian aktiviti ini ke dalam kurikulum pendidikan sivik, sains dan lain-lain demi impak kesedaran jangka panjang.
Sekolah menterjemahkan komitmen ini dengan menghentikan sesi akademik biasa selama dua jam untuk melaksanakan aktiviti impak tinggi seperti gotong-royong, audit sisa kantin, penanaman pokok dan kempen penutupan suis elektrik bagi menyokong amalan sifar karbon.
Pelajar turut dilibatkan secara aktif melalui kuiz alam sekitar atas talian dan lafaz ikrar hijau bebas plastik sekali guna. Memerhati burung di kawasan sekolah juga menarik minat pelajar.
Sinergi mantap antara penganjur, kementerian dan warga sekolah ini membuktikan komitmen jitu negara dalam menyemai budaya memelihara alam sekitar secara menyeluruh bermula dari peringkat akar umbi.
Kalau seluruh negara serentak menyambut HASN, kita dapat menanam semangat dan ingatan yang lama.
Pada 5 Oktober pula, dunia menyambut Hari Habitat Sedunia dengan tema ‘Perumahan yang Mencukupi untuk Semua’.
Di Malaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama PLANMalaysia dan Urbanice Malaysia menggerakkan program kelestarian bandar.
Habitat lestari bukan sekadar bangunan hijau tetapi bandar yang bersih, terurus dan mampu menahan arus pencemaran serta hakisan pantai. Cabaran besar KPKT ialah mengawal pelepasan sisa plastik domestik yang mencemari laut.
Pendidikan awam berkaitan pengurusan sisa perlu ditingkatkan, pengurusan sampah oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa ditambah baik dan teknologi komunikasi berkesan digunakan bagi menangani isu penduduk.
Pada 10 Oktober, Hari Burung Hijrah Sedunia mengingatkan kita tentang burung migrasi yang singgah di pesisir Malaysia. Mereka adalah indikator kesihatan ekosistem.
Namun, lima ancaman besar iaitu kehilangan habitat, pencemaran plastik, toksik industri, jerebu dan pembangunan pesat menggugat kelangsungan hidup mereka.
Malaysia, sebagai sebahagian Laluan Migrasi Asia Timur-Australasia (EAAF), memikul tanggungjawab besar memelihara kawasan perlindungan seperti Teluk Air Tawar, Taman Alam Kuala Selangor, dan Teluk Bako-Buntal di Sarawak.
Pada 24 Oktober pula, dunia bersatu dalam Hari Tindakan Iklim Antarabangsa. Fokusnya jelas kepada pendidikan iklim, pengurangan pelepasan karbon dan tindakan komuniti lestari.
Malaysia sebagai negara maritim tidak boleh berdiam diri. Selat Melaka bukan sahaja nadi perdagangan dunia tetapi juga nadi ekologi negara.
Jika suhu lautan terus meningkat, bukan sahaja ikan dan burung migrasi terancam, malah nelayan pesisir akan kehilangan sumber rezeki.
Begitu juga kemasukan air masin bawah tanah ke kawasan pantai juga memerlukan perhatian.
Pelajar sekolah dan universiti merupakan tenaga muda yang mampu mengubah landskap kelestarian negara.
Aktiviti lapangan seperti pembersihan pantai dan penanaman pokok bakau, kempen kesedaran sifar plastik serta forum mentor-mentee antara universiti dan sekolah membentuk ekosistem pendidikan hijau.
TINDAKAN IKLIM BERMULA DI PERINGKAT AKAR UMBI
Pada masa sama, pengiktirafan kepada pejuang veteran alam sekitar perlu diperkasakan.
Dalam masa sama, Anugerah Langkawi dan Anugerah Merdeka wajar ditambah dengan kategori khusus untuk aktivis akar umbi.
Sementara Anugerah Wira Tapak Ramsar dan pengiktirafan pengetahuan tradisi masyarakat Orang Asli boleh juga diperkenalkan sebagai penghormatan kepada yang menjaga ekosistem berkaitan.
Pemeliharaan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama yang wajib bermula dari rumah dan diperkukuh di sekolah melalui pendidikan kelestarian sejak peringkat awal.
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bertindak sebagai jambatan komuniti mendapatkan dana, menyumbang kepakaran dan menyertai aktiviti kelestarian.
Sokongan ini diperkasakan lagi oleh agensi setempat, termasuk PBT dan JAS, yang membekalkan kemudahan logistik, tajaan pokok serta pameran kesedaran interaktif.
HASN menjadi payung yang menyatukan semua sambutan berkaitan alam sekitar, dari habitat ke burung migrasi, dari iklim ke komuniti dan dari sekolah ke universiti.
Jika HASN dijadikan nadi utama, maka bulan Oktober bukan sekadar bulan hijau, tetapi bulan yang melahirkan budaya kelestarian yang hidup sepanjang tahun. –UTUSAN
PROFESOR Dr. Ahmad Ismail ialah Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM).











