Pengampunan tidak jejas usaha pemulihan aset 1MDB - Utusan Malaysia

Pengampunan tidak jejas usaha pemulihan aset 1MDB

ANWAR Ibrahim ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat semalam. – BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan meneruskan tuntutan sivil dan usaha mendapatkan semula aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) walaupun individu yang disabitkan kesalahan berkaitan kes itu diberikan pengampunan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tuntutan sivil mempunyai asas tindakan dan proses pembuktian yang berbeza daripada prosiding jenayah.

Katanya, kesan keputusan berkaitan hukuman atau pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan perlu diteliti berdasarkan skop keputusan berkenaan serta undang-undang yang terpakai.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hak kerajaan dan 1MDB untuk meneruskan tuntutan sivil hendaklah dinilai berdasarkan asas tuntutan, bukti dan perintah mahkamah dalam prosiding berkenaan.

“Begitu juga, apa-apa tindakan pelucuthakan aset tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan syarat yang mengawal tindakan itu,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Howard Lee (PH-Ipoh Timur) yang meminta jaminan kerajaan bahawa usaha mendapatkan semula aset berkaitan 1MDB tidak akan terjejas susulan perkembangan berkaitan hukuman mana-mana banduan.

Anwar berkata, kerajaan kekal tegas untuk mendapatkan semula dana negara melalui saluran undang-undang yang tersedia, dengan menghormati bidang kuasa mahkamah serta kuasa pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Keutamaan kerajaan ialah memaksimumkan pemulihan dana bagi melunaskan obligasi 1MDB, mengurangkan beban kewangan negara dan memelihara kepentingan rakyat.

“Sejak kerajaan mula mengambil alih tanggungan hutang dan komitmen kewangan berkaitan 1MDB pada April 2017, kerajaan sudah menjelaskan bayaran berjumlah RM42.5 bilion merangkumi bayaran prinsipal sebanyak RM27.7 bilion serta faedah dan komitmen lain sebanyak RM14.8 bilion.

“Selain itu, baki komitmen sukuk Islamic Medium Term Note (IMTN) yang dijamin kerajaan adalah sebanyak RM8.9 bilion, terdiri daripada prinsipal RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion sehingga tempoh matang pada 2039,” katanya.

Anwar berkata, berdasarkan bayaran yang telah dibuat serta baki komitmen yang masih perlu dijelaskan, jumlah keseluruhan obligasi kewangan kerajaan berkaitan 1MDB ialah RM51.4 bilion.

“Selepas ditolak pemulihan dana dan aset berjumlah RM31.3 bilion, baki beban kewangan bersih yang ditanggung oleh kerajaan dianggarkan sebanyak RM20.1 bilion dengan andaian tiada pemulihan dana dan aset tambahan pada masa hadapan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dengan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Najib, 73, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.

Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada Februari 2024 memendekkan separuh tempoh hukuman penjara asal 12 tahun itu, manakala denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini