KPTMSB perkasa mutu akademik demi graduan berkualiti

KPTMSB perkasa mutu akademik demi graduan berkualiti

Tetamu kenamaan merakam gambar kenangan sempena KPTM Excellence Partners Appreciation 2026 di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. (KPTMSB) terus memperkukuh standard akademiknya menerusi penilaian bebas oleh Panel Penilai Luar (PPL) bagi memastikan program pengajian yang ditawarkan kekal relevan dengan keperluan industri dan memenuhi piawaian pendidikan tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif KPTMSB, Radzuan Razali berkata, penglibatan pakar akademik dan wakil industri membolehkan setiap program dinilai secara objektif dan profesional, selain membuka ruang kepada penambahbaikan berterusan.

Menurutnya, penilaian berkenaan meliputi kandungan kurikulum, kaedah pentaksiran, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran serta pencapaian hasil pembelajaran pelajar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kualiti memerlukan kesediaan untuk mendengar, keberanian menerima teguran dan kesungguhan melaksanakan penambahbaikan,” katanya pada Majlis KPTM Excellence Partners Appreciation 2026 di sini, Khamis lalu.

Radzuan Razali.

Beliau berkata, pendekatan itu turut memastikan program akademik KPTMSB menepati piawaian Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan badan profesional berkaitan.

Katanya, KPTMSB menawarkan 55 program pengajian menerusi Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), dengan kira-kira 35,000 pelajar bergantung kepada institusi berkenaan untuk mendapatkan pendidikan berkualiti dan membina masa depan.

Justeru, kerjasama dengan pihak industri perlu diperkasakan bagi memastikan kandungan pengajian sentiasa selari dengan perkembangan teknologi serta kemahiran yang diperlukan dalam pasaran kerja.

Usaha itu turut dilaksanakan menerusi pendekatan Pembelajaran Berasaskan Tindakan (*Action-Based Learning*) yang memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan pengetahuan teori dalam situasi pekerjaan sebenar.

Radzuan berkata, penilaian program secara berkala perlu dipertingkatkan bagi memastikan kurikulum sentiasa menepati perubahan landskap pendidikan dan industri yang semakin dinamik.

“Melalui penilaian ini, kita dapat menentukan sama ada sesuatu program masih sesuai diteruskan dalam bentuk sedia ada atau perlu diubah supaya kekal relevan,” katanya.

Radzuan (tengah) ketika ditemu bual media sempena KPTM Excellence Partners Appreciation 2026 di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pengarah Kanan Pelaburan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lailatul Asmah Mohd Tahir berkata, usaha memperkukuh penilaian akademik itu seiring dengan aspirasi MARA untuk melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan mampu bersaing.

Menurutnya, komitmen institusi dalam mengekalkan standard akademik, memperkukuh tadbir urus serta melaksanakan penambahbaikan secara berterusan menjadi asas penting dalam memastikan mutu pendidikan terus terpelihara.

Beliau berkata, penglibatan pakar akademik dan industri juga membantu memastikan kurikulum serta hasil pembelajaran memenuhi piawaian kualiti dan keperluan semasa dunia pekerjaan.

“Penilaian bukan sekadar untuk membuktikan sesuatu program memenuhi standard, tetapi juga mengenal pasti ruang yang boleh ditambah baik,” katanya.

Lailatul Asmah berharap segala pandangan dan saranan PPL dapat dimanfaatkan sebagai input strategik untuk meningkatkan kerelevanan program pengajian serta memperkukuh kebolehpasaran graduan.

Pada majlis berkenaan, beliau menyampaikan plak penghargaan kepada 46 Panel Penilai Luar sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam usaha meningkatkan mutu akademik KPTM dan UPTM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini