BESUT: Penyediaan sebuah pusat pemindahan sementara khas kepada penternak akuakultur untuk memindahkan ikan ketika musim tengkujuh dapat membantu mengurangkan risiko kerugian jika sangkar ternakan mereka dinaiki atau berlaku perubahan air.
Pengerusi Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr. Azman Ibrahim berkata, pusat itu dibina di Kampung Rhu 10, Setiu, dekat sini mampu menampung pemindahan ikan sehingga puluhan tan metrik dalam satu masa.
Beliau berkata, langkah berkenaan adalah antara pelan kecemasan kerajaan negeri bagi memastikan bekalan makanan terus terjamin meskipun penternak berdepan risiko banjir dan perubahan cuaca.
“Apabila tiba musim banjir, ikan yang diternak dalam sangkar boleh dipindahkan sementara ke tangki khas di pusat berkenaan sebelum dikembalikan semula ke kolam atau sangkar selepas keadaan kembali pulih.
“Ia penting untuk mengelakkan kerugian besar terutama bagi penternak ikan air payau yang berdepan risiko kematian ikan akibat perubahan keadaan air ketika musim tengkujuh,” katanya ketika ditemui pada Program Himpunan Ruminan 2026 di Pekan Jabi di sini, semalam.
Menurut Azman, limpahan air dari hulu ketika banjir boleh menyebabkan kadar kemasinan air menurun sekali gus menjejaskan spesies ikan yang sensitif terhadap perubahan tersebut termasuk ikan kerapu dan siakap.
Katanya, perubahan suhu air yang menjadi lebih sejuk serta penurunan kandungan oksigen turut meningkatkan risiko kematian ikan secara besar-besaran.
Beliau berkata, situasi itu adalah cabaran tahunan yang perlu dihadapi penternak khususnya mereka yang mengusahakan ternakan ikan air payau di kawasan berisiko banjir.
“Walaupun kita tahu musim tengkujuh tiba setiap tahun penternak tetap perlu meneruskan aktiviti kerana mereka mempunyai sasaran pasaran dan tempoh tuaian tertentu.
“Sebagai contoh, ada penternak ikan air payau yang menyasarkan pasaran Tahun Baharu Cina pada Februari ini, jadi mereka tidak boleh menghentikan operasi begitu sahaja ketika musim banjir,” katanya.
Azman berkata, pusat berkenaan disediakan kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu dan jumlah kemudahannya terus ditambah bagi meningkatkan keupayaan menghadapi risiko bencana.
Katanya, semua penternak yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan boleh memanfaatkan kemudahan tersebut.-UTUSAN.











