PETALING JAYA: Sebanyak 39 peratus rakyat Malaysia berpendapatan peribadi bawah RM2,000 mempunyai simpanan yang hanya mampu menampung perbelanjaan kurang daripada sebulan sekiranya kehilangan pekerjaan, meningkat berbanding 35 peratus pada 2025.
Dapatan Tinjauan Celik Kewangan Malaysia (RMFLS) 2026 oleh RinggitPlus itu turut menunjukkan 36 peratus daripada kumpulan berpendapatan rendah berkenaan tidak menyimpan sebarang wang setiap bulan, berbanding 33 peratus pada tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Yuen Tuck Siew berkata, dapatan tahun ini menunjukkan hubungan rapat antara kedudukan kewangan dengan keputusan berkaitan keluarga dan masa depan.
“Jurang simpanan yang semakin melebar antara golongan berpendapatan bawah RM2,000 dengan kumpulan pendapatan lain perlu diberikan perhatian, terutama dalam usaha meningkatkan daya tahan kewangan rakyat Malaysia.
“Pendidikan kewangan perlu bersifat praktikal dan mudah diakses supaya rakyat Malaysia dapat menerapkan pengetahuan mereka dalam keputusan harian yang membantu mereka membuat persediaan dengan lebih baik,” katanya.
RMFLS merupakan tinjauan tahunan RinggitPlus yang mendapat pengiktirafan Financial Education Network (FEN) dan meneliti kesihatan kewangan, tingkah laku serta keutamaan rakyat Malaysia.
Tinjauan tahun ini melibatkan sejumlah 3,005 responden di seluruh negara dan ditaja oleh GXBank, yang turut mencadangkan beberapa soalan dalam kaji selidik berkenaan.
Mengulas lanjut, laporan itu berkata, keadaan ini mencerminkan tekanan kewangan yang semakin ketara dalam kalangan golongan berpendapatan rendah, khususnya dari segi keupayaan membina simpanan kecemasan dan menghadapi kehilangan sumber pendapatan.
“Sebaliknya, bagi responden berpendapatan peribadi RM2,000 ke atas, hanya 14 peratus mempunyai simpanan yang mampu bertahan kurang daripada sebulan jika kehilangan pekerjaan, berbanding 17 peratus pada 2025.
“Peratusan responden dalam kumpulan pendapatan tersebut yang tidak menyimpan wang setiap bulan juga menurun kepada 11 peratus daripada 12 peratus pada tahun sebelumnya.
“Perbezaan itu menunjukkan jurang daya tahan kewangan antara kedua-dua kumpulan pendapatan semakin melebar, apabila golongan berpendapatan bawah RM2,000 berdepan keadaan simpanan yang semakin lemah, sedangkan kumpulan berpendapatan lebih tinggi menunjukkan sedikit penambahbaikan,” katanya.
Tinjauan yang dijalankan terhadap 3,005 rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas dari 28 September hingga 11 Oktober 2026 itu mendapati tekanan kewangan turut mempengaruhi keputusan penting dalam kehidupan, termasuk perkahwinan dan perancangan keluarga.
“Kira-kira 24.3 peratus responden berusia 25 hingga 44 tahun menyatakan faktor kewangan menyebabkan mereka menangguhkan atau memutuskan untuk tidak berkahwin, mengadakan majlis perkahwinan atau menimang anak pertama dalam tempoh lima tahun lalu.
“Peratusan itu lebih tinggi dalam kalangan mereka yang berusia 25 hingga 34 tahun, iaitu 28.9 peratus, berbanding 19.1 peratus bagi kumpulan berusia 35 hingga 44 tahun,” katanya.
Tambahnya, dari segi pendapatan, sebanyak 22.8 peratus responden berusia 25 hingga 44 tahun yang berpendapatan bawah RM2,000 menyatakan faktor kewangan mempengaruhi keputusan berkenaan, berbanding 25.8 peratus bagi mereka yang berpendapatan RM2,000 hingga RM4,999 dan 23.1 peratus bagi kumpulan berpendapatan RM5,000 ke atas.
“Pada masa sama, tanggungjawab menyara keluarga turut menjadi sebahagian daripada komitmen kewangan rakyat Malaysia apabila 63 peratus responden menyatakan mereka memberikan wang kepada ibu bapa atau ibu bapa mentua.
“Daripada jumlah itu, 32 peratus memberikan wang setiap bulan, manakala 30.9 peratus berbuat demikian sekali-sekala.
“Dalam kalangan responden berpendapatan bawah RM2,000, sebanyak 51.4 peratus turut memberikan wang kepada ibu bapa atau ibu bapa mentua, termasuk 18.5 peratus yang melakukannya setiap bulan,” katanya.
Sementara itu, tinjauan berkenaan mendapati 56.2 peratus responden yang mempunyai pekerjaan utama turut memperoleh pendapatan daripada kerja berbayar lain, termasuk perniagaan kecil, jualan dalam talian, pekerjaan sambilan dan kerja bebas.
Daripada mereka yang mempunyai pekerjaan utama serta sumber pendapatan tambahan, 22.4 peratus menyatakan pendapatan berkenaan diperlukan untuk menampung komitmen kewangan, manakala 47.6 peratus berkata mereka masih mampu menguruskan kewangan tanpa pendapatan tambahan itu, tetapi keadaan kewangan akan menjadi lebih ketat.
Dari segi perancangan persaraan, 45.6 peratus responden menjangkakan mereka akan terus bekerja selepas mencapai usia persaraan, sama ada secara sambilan atau dengan tidak bersara sepenuhnya.
Dalam aspek pengurusan hutang, sebanyak 15.6 peratus responden menyatakan pembayaran balik hutang lain merupakan antara sebab mereka meminjam wang atau menggunakan kemudahan kredit dalam tempoh 12 bulan lalu, termasuk kad kredit dan perkhidmatan Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL).
Tinjauan itu turut mendedahkan risiko penipuan kewangan digital apabila 25.3 peratus responden menyatakan mereka kehilangan wang akibat penipuan dalam tempoh 12 bulan lalu, termasuk kerugian kecil.
“Selain itu, 21 peratus responden berdepan penipuan pada 2026 yang dipercayai menggunakan kecerdasan buatan (AI) atau teknologi deepfake untuk menyamar sebagai individu yang dipercayai mereka.
“Pada masa sama, 41.3 peratus responden pernah menggunakan alat AI untuk membantu menguruskan wang, dengan peratusan itu meningkat kepada 52 peratus dalam kalangan mereka yang berusia 18 hingga 24 tahun,” tambahnya. – UTUSAN











