Rakan mangsa langgar lari harap pemandu ditahan segera demi keadilan

Rakan mangsa langgar lari harap pemandu ditahan segera demi keadilan

MUHAMMAD Aqil Yusri menunjukkan gambar kenangan ketika bercuti bersama rakan baiknya, Allahyarham Mohamad Nazhif Faris Mohd. Fauzi ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), hari ini.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: “Saya harap individu yang terlibat dalam kejadian langgar lari sehingga mengakibatkan kematian rakan baik saya ditahan polis segera demi mendapatkan keadilan untuk mereka.”

Demikian luahan Muhammad Aqil Yusri, 22, rakan baik kepada Mohamad Nazhif Faris Mohd. Fauzi, 22, yang maut bersama seorang wanita berusia 20 tahun selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan tidak dikenal pasti di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu di sini, awal pagi tadi.

Muhammad Aqil yang juga penuntut Universiti Kuala Lumpur Malaysian Spanish Institute (UniKL MSI) di Kulim, Kedah berkata, dia mengenali Mohamad Nazhif sejak empat tahun yang lalu ketika mereka sama-sama mengikuti pengajian di peringkat diploma di institusi berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, mereka bukan sahaja belajar dalam bidang yang sama, malah, turut berkawan rapat serta menghabiskan masa bersama-sama sepanjang tempoh pengajian.

“Dia (Mohamad Nazhif) seorang yang peramah, baik dan suka menolong orang. Tenaganya memang positif dan kalau kami duduk bersama, memang gelak sahaja. Dia juga rajin belajar dan sanggup membantu orang walaupun individu itu tidak dikenalinya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal dipercayai dalam perjalanan dari pusat bandar George Town menghala ke arah Jambatan Pulau Pinang sebelum dirempuh oleh sebuah kenderaan dari arah belakang berhampiran susur ke jambatan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad yang mengesahkan kejadian itu berkata, siasatan lanjut bagaimanapun sedang dijalankan bagi mengenal pasti kenderaan serta pemandu yang terbabit.

Sementara itu, Muhammad Aqil berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan Mohamad Nazhif beberapa hari lalu, sahabat baiknya itu kelihatan gembira dan berkongsi beberapa barangan baharu yang dibelinya dengan gaji hasil bekerja sambilan ketika cuti semester yang lalu.

“Dia tunjuk dompet baharu, ‘phone casing’ (sarung telefon) dan ‘powerbank’ yang dibelinya. Sebelum ini, dia bukan jenis yang bercerita atau menunjukkan barang seperti itu kecuali apabila orang bertanya. Memang agak pelik kerana sebelum ini dia tidak pernah begitu,” katanya.

Tambah Muhammad Aqil, kehilangan Mohamad Nazhif amat dirasai, namun, dia reda dan menganggap pemergian sahabat baiknya itu adalah suratan Ilahi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini