SEOUL: Korea Selatan tidak mengesan sebarang tanda penempatan senjata baharu Korea Utara di sepanjang sempadan kedua-dua negara, meskipun Pyongyang mengumumkan aset ketenteraan baharu akan diletakkan dalam keadaan siap siaga.
Tentera Korea Selatan dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya tidak melihat sebarang petunjuk mengenai penempatan senjata berkenaan, beberapa jam selepas Korea Utara mengumumkan langkah itu.
Pyongyang sebelum ini menafikan dakwaan bertanggungjawab terhadap letupan yang mencederakan tiga anggota tentera Korea Selatan di Zon Demiliterisasi (DMZ) bulan lalu.
Kawasan penampan yang dipenuhi periuk api itu memisahkan kedua-dua negara sejak perjanjian gencatan senjata pada 1953.
Korea Utara turut memperlekehkan gesaan supaya negara itu memohon maaf berhubung kejadian berkenaan.
Pada Isnin, Pyongyang menyifatkan keadaan di sepanjang sempadan sebagai serius dan memaklumkan sedang mempertimbangkan penempatan tambahan aset serangan taktikal di kawasan itu.
Pada Khamis, Kim Yo-jong, adik perempuan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, berkata pembesar suara propaganda akan diletakkan dalam keadaan siap siaga di sepanjang sempadan dalam tempoh beberapa hari.
Beliau turut mengesahkan bahawa aset tindak balas baharu yang tidak diperincikan telah diletakkan dalam keadaan siap siaga.
Kenyataan itu dibuat kurang 24 jam selepas Kim Yo-jong mengumumkan Pyongyang menggerakkan unit tentera baharu ke ‘kedudukan menembak’ susulan lawatannya ke kawasan sempadan.
Kedua-dua negara sesekali menggunakan pembesar suara untuk menyiarkan propaganda merentasi sempadan bersama, selain melaksanakan kaedah peperangan psikologi lain.
Bagaimanapun, tentera Korea Selatan pada Khamis berkata pihaknya setakat ini tidak mengesan sebarang tanda penempatan senjata baharu oleh Korea Utara.
“Kami tidak melihat sebarang petunjuk bahawa Korea Utara sedang menempatkan jenis persenjataan baharu. Bagaimanapun, mengambil kira kenyataan mereka, kami terus memantau keadaan dengan teliti,” kata jurucakap Ketua Turus Bersama Korea Selatan, Jang Do-young, kepada pemberita.
Ketika ditanya mengenai dakwaan Korea Utara berhubung pembesar suara, Jang berkata kerja ‘penyelenggaraan rutin’ dikesan sebelum negara itu mengeluarkan kenyataan terbaharunya.
Beliau menambah, kenyataan Korea Utara yang dikeluarkan bertalu-talu sejak kebelakangan ini hanya menunjukkan usaha berterusan Korea Selatan membersihkan periuk api di Zon Demiliterisasi (DMZ) membuahkan hasil.- AFP











