ISKANDAR PUTERI: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) berhasrat membangunkan perumahan transit asnaf di tanah-tanah wakaf di seluruh negeri bagi memastikan golongan memerlukan mendapat pembelaan sewajarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, perancangan itu akan dilaksanakan menerusi inisiatif Pelan Kemajuan Wakaf Tanah Johor yang sedang dibangunkan.
“Kami sedang bangunkan pelan wakaf yang bertujuan untuk menyusun semula semua kekuatan tanah wakaf milik MAINJ untuk dibangun. Antara rancangan termasuk membina unit rumah transit untuk kegunaan asnaf.
“Sebelum ini kita bantu buatkan rumah, tetapi apabila mereka meninggal wujud isu pewarisan rumah berkenaan. Jadi bukankah lebih baik kita bangunkan rumah transit di atas tanah wakaf, sesiapa layak terima manfaat itu tiada masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kolaborasi Antara MAINJ dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) di Sunway Hotel Big Box, di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd. Fared memberikan, MAINJ akan turut memperluaskan kerjasama dengan PKPJ dalam menyediakan perumahan transit asnaf kepada lebih ramai penerima di seluruh negeri bermula tahun depan.
“Setakat ini sebanyak 14 unit rumah transit telah diusahakan dengan kerjasama PKPJ di bandar raya ini. Tetapi kita akan perluaskan lagi inisiatif tersebut kerana terdapat golongan memerlukan di setiap daerah seluruh negeri ini.
“Kita akan lakukan penyusunan semula melibatkan Baitulmal di setiap daerah untuk melihat kewajaran pelaksanaan kerjasama ini. Pelaksanaannya tertakluk kepada permintaan dan kita akan bantu kerana peruntukan untuk perkara itu ada,” katanya.
Sementara itu, mengulas tentang sesi persekolahan sekolah agama susulan keadaan jerebu, Mohd. Fared memberitahu terdapat kemungkinan sesi persekolahan akan kembali dilakukan secara fizikal bermula minggu depan.
“Jerebu makin baik, hari ini cuma dua lokasi sahaja yang tidak sihat. Kami percaya menjelang hujung minggu ini keadaan akan menjadi lebih baik dan ada kemungkinan sekolah akan dibuka seperti biasa, minggu depan.
“Bagaimanapun perkara itu masih tertakluk kepada keadaan kualiti udara, pengumuman mengenainya akan dibuat apabila tiba masanya,” katanya.-UTUSAN











