SEOUL: Seekor jerung betina sepanjang tiga meter yang terperangkap lebih sebulan di laluan air buatan di Korea Selatan dikhuatiri hanya mempunyai masa dua minggu untuk hidup, menurut amaran seorang pakar hidupan marin.
Jerung yang digelar Bukang-i itu mula dikesan di sebuah terusan buatan di Taman Tepi Air Pelabuhan Utara di Busan pada 18 September lalu.
Jerung yang diancam kepupusan itu menjadi tarikan penduduk setempat sehingga menarik lebih sejuta pengunjung untuk melihatnya. Bagaimanapun, dua percubaan membawa haiwan itu kembali ke laut lepas gagal.
Pihak berkuasa memantau keadaan Bukang-i susulan kebimbangan haiwan itu tidak makan sepanjang berada di terusan berkenaan.
Menurut SBS News, jerung itu dilihat berulang kali menghentakkan kepalanya pada dinding konkrit terusan pada Isnin. Rakaman yang dirakam pengunjung sehari sebelumnya pula menunjukkan hujung sirip dadanya di sebelah kanan bertukar putih dan kelihatan cedera.
Ahli Iktiologi yang juga Profesor Emeritus di Jabatan Sains Sumber Biologi Marin Universiti Kebangsaan Kunsan, Choi Yoon berkata, keadaan fizikal jerung itu kelihatan merosot dengan pantas.
Katanya, jerung itu mungkin menghentakkan kepalanya pada dinding kerana keletihan menjejaskan derianya, sekali gus mengurangkan keupayaannya mengesan dan mengelak halangan.
“Walaupun jerung gelap boleh bertahan tanpa makanan selama satu hingga dua bulan, Bukang-i kini kelihatan sudah mencapai had ketahanannya, dengan hampir semua simpanan tenaganya habis digunakan,” katanya kepada Seoul Economic Daily.











