INSTITUSI pendidikan negara sekali lagi digemparkan dengan tragedi menyayat hati apabila seorang pelajar perempuan ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan sekolah pada 3 Oktober lalu dan kemudian disahkan meninggal dunia.
Tanpa mendahului hasil siasatan, kejadian ini wajar mendorong penilaian terhadap keselamatan sekolah dan keberkesanan sistem yang melindungi kanak-kanak.
Apabila membicarakan persekitaran pembelajaran yang selamat, ia merangkumi keselamatan fizikal serta kesejahteraan emosi, psikologi dan sosial murid.
Sekolah yang selamat bukan sekadar mempunyai pagar dan peraturan. Murid juga perlu berasa selamat untuk belajar, bergaul dan melaporkan ancaman tanpa ketakutan.
Namun, insiden-insiden sebegini menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat akan keselamatan anak-anak dan mengapa ia terus berulang.
Persoalan tentang hukuman sering timbul setiap kali insiden serius melibatkan pelajar berlaku. Sesetengah pihak menganggap undang-undang sedia ada ringan dan tidak berkesan dalam mengekang dan membendung isu ini.
Sebahagian yang lain pula berpandangan ia berpunca daripada kegagalan pendidikan dan pengawasan.
Tidak kurang juga yang berpendapat anak-anak ini tidak memahami kesan atau konsekunsi perbuatan mereka. Walau bagaimanapun, hukuman yang berat, keberkesanan pelaksanaan dan pembentukan tingkah laku merupakan persoalan berbeza yang perlu dinilai secara bersama.
Pada asasnya, salah laku disiplin perlu dibezakan daripada kesalahan jenayah. Tidak semua pelanggaran peraturan sekolah dibawa ke mahkamah. Sebaliknya, perbuatan yang mempunyai unsur jenayah tidak patut diselesaikan sebagai isu disiplin semata-mata.
Akta Kanak-Kanak 2001 mentakrifkan kanak-kanak sebagai seseorang di bawah umur 18 tahun. Namun, seksyen 82 Kanun Keseksaan mengecualikan kanak-kanak di bawah 10 tahun daripada tanggungjawab jenayah.
Seksyen 83 pula memberikan pengecualian kepada kanak-kanak melebihi 10 tetapi di bawah 12 tahun yang belum cukup matang untuk memahami sifat dan akibat perbuatannya.
Undang-undang menyediakan pelbagai pilihan, termasuk bon berkelakuan baik, khidmat masyarakat dan penempatan di institusi pemulihan.
Tanggapan semua pesalah kanak-kanak tidak boleh dipenjarakan juga tidak tepat. Pemenjaraan dibenarkan bagi mereka yang berumur 14 tahun ke atas apabila tiada cara lain yang sesuai.
Hukuman mati pula tidak boleh dikenakan terhadap seseorang yang masih kanak-kanak ketika melakukan kesalahan.
Kerangka ini perlu dibaca bersama undang-undang lain. Kanun Keseksaan bukan sahaja menangani perbuatan mencederakan dan membunuh, malah pindaan 2025 memperkenalkan seksyen 507B hingga 507G berkaitan gangguan, ancaman dan penyalahgunaan maklumat identiti.
Pemakaian setiap peruntukan bergantung pada unsur kesalahan dan bukti, bukannya semata-mata label ‘buli’.
Akta Antibuli 2026 pula memperluas perhatian kepada pencegahan dan pengurusan kes. Seksyen 7 mewajibkan institusi pendidikan dalam skopnya menyediakan jawatankuasa pengurusan buli, saluran aduan yang boleh diakses dan menjaga kerahsiaan, serta kaunseling dan sokongan psikososial.
Akta ini turut menyediakan Tribunal bagi Antibuli. Namun, seksyen 54 menegaskan aduan di bawah akta tersebut tidak menghalang pengadu membuat laporan polis.
Di peringkat sekolah, garis panduan Kementerian Pendidikan pada 2023 menetapkan tindakan awal dalam tempoh 24 jam, termasuk menghubungi ibu bapa serta merekod dan melaporkan aduan.
Ini tidak bermaksud seluruh siasatan mesti selesai dalam sehari tetapi aduan tidak sepatutnya dibiarkan tanpa tindakan awal.
Pendekatan negara-negara lain dalam hal ini juga wajar untuk dibandingkan. Misalnya, India membenarkan kanak-kanak berumur 16 hingga bawah 18 tahun dibicarakan sebagai orang dewasa bagi kategori kesalahan sangat serius selepas penilaian khusus dan keputusan mahkamah.
Namun, hukuman mati dan penjara seumur hidup tanpa kemungkinan pembebasan tetap dilarang.
New Zealand pula menggunakan persidangan keluarga dalam sistem keadilan belia untuk melibatkan pelaku, keluarga, mangsa dan pihak profesional dalam pembentukan pelan tindakan.
Pelan ini boleh merangkumi pembaikan kemudaratan, khidmat masyarakat dan sokongan pemulihan, dengan pemantauan susulan.
Contoh ini menunjukkan pemulihan tidak semestinya melepaskan pelaku tanpa tanggungjawab atau mengetepikan kepentingan mangsa.
Walau bagaimanapun, kewujudan sesuatu mekanisme di luar negara bukanlah bukti dan suatu kemestian mekanisme tersebut lebih berkesan. Sebaliknya, Malaysia perlu menilai kesesuaiannya berdasarkan jenis kesalahan, keupayaan institusi dan perlindungan mangsa, bukan sekadar ‘menyalin’ pendekatan yang kelihatan paling keras.
Penilaian juga perlu bertunjangkan data. Statistik Kanak-kanak Malaysia, 2025 terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan 2,627 kes kanak-kanak yang terlibat dalam jenayah pada 2024, menurun 4.2 peratus berbanding tahun sebelumnya. Namun, penurunan ini sahaja tidak membuktikan kejayaan undang-undang, sebagaimana sesuatu tragedi tidak membuktikan kegagalan keseluruhan sistem.
Justeru, dalam usaha penambahbaikan kerangka perundangan sedia ada, perlu untuk meneliti keseriusan kesalahan, kadar kesalahan berulang dan hasil pemulihan.
Persoalan-persoalan berikut juga perlu dijawab sama ada aduan ditangani segera, ancaman dikenal pasti, mangsa dilindungi dan rujukan kepada agensi berkaitan disusuli tindakan.
Tanpa penilaian ini, desakan untuk pemberatan hukuman berisiko tidak menyentuh kelemahan sebenar yang perlu ditangani.
KELUARGA SEBAGAI INSTITUSI PENDIDIKAN PERTAMA
Peranan institusi keluarga tidak harus diketepikan daripada gambaran keseluruhan isu ini. Sekolah menyediakan pendidikan formal secara sistematik serta menerapkan nilai agama, moral dan kemanusiaan.
Sungguhpun begitu, pendidikan nilai bermula dari rumah. Ibu bapa dan penjaga perlu menjadi teladan dalam mengawal kemarahan, menghormati orang lain dan menyelesaikan perselisihan tanpa kekerasan.
Dalam pendidikan Islam, nilai rahmah, amanah, keadilan dan penghormatan terhadap kemuliaan insan wajar diterjemahkan melalui amalan harian. Anak-anak perlu dibimbing memahami bahawa keberanian bukan menindas yang lemah, manakala mempertahankan maruah bukan menghalalkan kekerasan.
Ibu bapa juga harus bersedia menerima teguran tentang anak dan bekerjasama mencari penyelesaian, bukan terus menolak setiap aduan.
Pengaruh rakan sebaya dan persekitaran digital turut perlu diberikan perhatian dalam pendidikan keluarga.
Pemantauan seharusnya disertai komunikasi yang terbuka agar anak berani melaporkan ancaman atau meminta bantuan.
Akhirnya, sekolah yang selamat menuntut undang-undang yang berkesan, pelaksanaan yang bertanggungjawab dan pendidikan akhlak yang berterusan.
Mengelakkan budaya menyalahkan sekolah semata-mata bukan bererti memindahkan segala kesalahan kepada keluarga tetapi memastikan setiap pihak melaksanakan kewajipannya. –UTUSAN
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik (SYARAK) Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).











