SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan membantah kaedah pemfailan saman pemula oleh 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan yang mencabar pembatalan pelantikan mereka.
Bantahan awal itu dibangkitkan peguam, Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili kerajaan negeri selaku defendan kedua pada prosiding pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Seremban hari ini.
Beliau berhujah, tindakan undang-undang berkenaan tidak sepatutnya difailkan melalui saman pemula, sebaliknya perlu dibawa menerusi prosiding semakan kehakiman.
Bantahan itu turut disokong defendan pertama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan serta pihak pencelah, Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU), Raja Norazli Raja Nordin dan DKU Negeri Sembilan.
Hakim Roz Mawar Rozain kemudian mengarahkan defendan kedua memfailkan notis bantahan awal selewat-lewatnya pada 23 Oktober ini.
Mahkamah menetapkan 16 November depan untuk pendengaran bantahan berkenaan menerusi sidang video.
Hujahan bertulis perlu difailkan pada 10 November, manakala hujahan balasan pada 13 November.
Sementara itu, permohonan Raja Norazli dan DKU Negeri Sembilan untuk mencelah dalam saman pemula berhubung tafsiran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan akan didengar pada 2 November ini, juga menerusi sidang video.
Dalam prosiding sama, mahkamah dimaklumkan bahawa plaintif memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan pada 14 Oktober lalu bagi mendapatkan rujukan berhubung tafsiran peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan di bawah Perkara 34(2).
Prosiding itu dihadiri peguam, Datuk Cyrus Das yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan manakala Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal mewakili Kerajaan Negeri Sembilan
Peguam, Steven Thiru pula mewakili pihak pencelah, Raja Norazli dan DKU Negeri Sembilan.
Terdahulu, media melaporkan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan mencabar tindakan membatalkan pelantikan mereka sebagai Exco kerajaan negeri pada 24 September lalu dengan memohon Mahkamah Tinggi Seremban mengisytiharkan keputusan itu batal, tidak sah dan tidak berkuat kuasa.
Saman pemula itu difailkan pada 5 Oktober lalu oleh Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah. –UTUSAN










