UM, MRT Corp bekerjasama bangunkan stesen MRT3 dalam kampus

UM, MRT Corp bekerjasama bangunkan stesen MRT3 dalam kampus

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim (kedua dari kiri) dan Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Datuk Seri Dr. Noor Azuan Abu Osman (kedua dari kanan), bergambar bersama dokumen perjanjian yang telah dipertukarkan di Transport Expo Asia (TXA) 2026 di Kuala Lumpur, dengan disaksikan oleh Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook (tengah). Turut hadir ialah Pengarah Projek Laluan Lingkaran MRT3 (MRT3 Circle Line), Yusof Kasiron (kiri), dan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) Universiti Malaya, Profesor Dr. Ramesh Singh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) menyambut baik cadangan pembangunan Laluan MRT3 Circle Line oleh Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), yang dijangka meningkatkan kesalinghubungan kampus universiti itu serta merancakkan pembangunan ekonomi dan akses pengangkutan awam di kawasan sekitarnya.

Kerjasama itu mencerminkan komitmen UM untuk mengintegrasikan pembangunan MRT3 dalam pelan pembangunan kampus jangka panjangnya, sekali gus menyokong pengembangan kemudahan pendidikan, penyelidikan, kesihatan dan kediaman sehingga 2050.

Perjanjian kerjasama berkenaan dimeterai antara Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim, dengan Naib Canselor UM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, pada Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) 2026 di Kuala Lumpur hari ini. Majlis itu disaksikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perjanjian melalui syarikat pelaksana projek MRT Corp, MRT Lingkaran Sdn Bhd, merangkumi cadangan pembinaan sebuah stesen MRT bawah tanah yang diberi nama sementara Stesen UM, di dalam kampus universiti berkenaan.

Stesen itu turut dilengkapi infrastruktur sokongan bagi meningkatkan akses dan kemudahan perjalanan untuk pelajar, kakitangan akademik, petugas kesihatan, pesakit hospital serta pengunjung.

Noor Azuan berkata, cadangan stesen MRT3 itu merupakan komponen penting dalam Pelan Induk UM 2050, yang mengintegrasikan pembangunan pengangkutan awam dengan perancangan pengembangan kampus.

Menurutnya, UM bukan sekadar merancang untuk memperluas kampus, sebaliknya membangunkan pusat bersepadu yang menggabungkan pendidikan, penyelidikan, penjagaan kesihatan dan inovasi bagi meningkatkan sumbangannya kepada negara.

“Dengan cadangan stesen itu terletak di Zon Kesihatan UM, kami melihat potensinya untuk memudahkan akses bukan sahaja kepada pelajar dan kakitangan, malah pesakit serta orang awam,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan kerjasama itu tidak seharusnya dinilai berdasarkan pembinaan stesen semata-mata, tetapi turut mengambil kira keupayaannya mengurangkan halangan perjalanan, membuka peluang dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Sementara itu, Mohd Zarif berkata, kesediaan UM memasukkan MRT3 dalam perancangan pembangunan jangka panjangnya membuktikan kepentingan pengangkutan rel dalam menyokong pertumbuhan institusi pendidikan, kesihatan dan penyelidikan.

Menurutnya, pelaburan pengangkutan awam bukan sekadar menghubungkan orang ramai ke lokasi sedia ada, tetapi turut menyediakan infrastruktur bagi merangsang pembangunan baharu, aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan.

Beliau berkata, sokongan UM juga membolehkan MRT Corp meneruskan perancangan jajaran yang berpotensi meningkatkan hubungan pengangkutan bagi kawasan Bangsar South, Pantai Dalam dan komuniti sekitarnya, selain memperkukuh integrasi dengan rangkaian rel sedia ada.

“Nilai gandaan sebenar MRT3 terletak pada keupayaannya menghubungkan pelaburan, institusi dan komuniti bagi menyokong pertumbuhan berterusan Lembah Klang,” katanya.

Di bawah Pelan Induk UM 2050: Rangka Tindakan Perancangan Kampus, universiti itu menyasarkan populasi pelajar seramai 35,000 orang menjelang 2050, disokong pembinaan kemudahan kediaman baharu, peluasan fasiliti akademik dan penyelidikan serta pembangunan kawasan kesihatan universiti.

Stesen bawah tanah MRT3 yang dicadangkan itu akan terletak di Zon Kesihatan UM, yang merangkumi Pusat Perubatan Universiti Malaya, Pusat Perubatan Pakar Universiti Malaya serta Fakulti Perubatan, Farmasi dan Pergigian.

Kawasan berkenaan turut merangkumi cadangan pembangunan masa depan dalam bidang penjagaan kesihatan dan pendidikan perubatan, sekali gus berpotensi memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

Bagi pelajar, stesen itu dijangka menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan ke kampus dan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.

Ia juga dirancang mempunyai hubungan dengan Laluan LRT Kelana Jaya melalui Stesen Universiti serta pertukaran dengan Laluan MRT Kajang yang dirancang, sekali gus memperluas pilihan perjalanan bagi penduduk di seluruh Lembah Klang.

Selain itu, pelan induk berkenaan turut mengenal pasti cadangan pembangunan bercampur berorientasikan transit di Seksyen 12, yang menggabungkan kemudahan profesional, aktiviti komersial dan kediaman dengan perancangan sambungan terus ke stesen MRT3.

Cadangan itu berpotensi memperkukuh integrasi antara pengangkutan awam dan pembangunan bandar, selain membuka ruang kepada pertumbuhan aktiviti perniagaan serta meningkatkan akses masyarakat kepada kemudahan pendidikan dan kesihatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini