PETALING JAYA: Jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly belum berpuas hati dengan lompatannya selepas gagal memecahkan rekod temasya miliknya sendiri walaupun berjaya mempertahankan pingat emas pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026, kelmarin.
Jaguh lompat jauh T20 negara itu mencatatkan lompatan sejauh 7.39 meter (m) untuk mempertahankan kejuaraan tetapi jarak tersebut masih belum memenuhi sasaran peribadinya untuk memperbaharui rekod temasya iaitu 7.64m yang diciptanya pada edisi 2018.
Menurut Latif, beliau bersyukur dapat mengekalkan kejuaraan pada penampilan keempatnya di temasya itu, namun mengakui sedikit terkilan kerana gagal mencapai sasaran yang ditetapkan sebelum pertandingan.
“Alhamdulillah, saya dapat mempertahankan pingat emas pada edisi keempat kali ini. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang banyak memberikan sokongan.
“Cuma, dengan jarak ini saya agak tidak berpuas hati sedikit kerana catatan 7.39m. Sebelum ini, sasaran saya adalah untuk memecahkan rekod,” katanya.
Impian Latif hadir selari dengan prestasinya apabila sebelum ini beliau melakukan 7.94m sekali gus menjadi catatan terbaik peribadinya ketika beraksi di Terbuka Kedah, 18 Julai lalu.
Dalam pada itu, Latif turut berkata, beliau beraksi dalam keadaan sakit selepas mengalami selesema pada hari pertandingan selain berasa kurang sihat.
“Tadi pun ada selesema dan rasa tak sedap badan. Pingat emas ini ditujukan untuk isteri, anak dan keluarga saya dan seluruh rakyat Malaysia yang menyokong. Begitu juga MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara) dan MPM (Majlis Paralimpik Malaysia),” katanya. – UTUSAN











