ALOR SETAR: Pesawah di Kedah berdepan kerugian sehingga RM946 bagi setiap relung untuk satu musim penanaman akibat kelewatan baja apabila ada hasil tuaian hanya sekitar 400 kilogram (kg) sedangkan kos mengusahakan sawah boleh mencecah RM1,746 untuk keluasan itu.
Keadaan itu menggambarkan tekanan yang ditanggung pesawah apabila hasil tuaian tidak mampu menampung kos operasi meskipun mereka mengusahakan tanah sendiri tanpa perlu membayar sewa.
Berdasarkan anggaran pengiraan kos, pesawah yang memperoleh 400kg padi bersih dan menerima bayaran pada kadar RM1,500 satu tan bersama Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) RM500 satu tan hanya memperoleh pendapatan kasar RM800 bagi setiap relung.
Jumlah itu masih jauh daripada mencukupi untuk menampung kos membajak, benih, baja, racun, upah kerja serta penuaian dengan kos membajak sahaja dianggar RM540 serelung bagi tiga pusingan pada kadar RM180 setiap pusingan manakala kos menuai pula sekitar RM180.
Selain itu, pesawah perlu memperuntukkan kira-kira RM250 hingga RM450 bagi baja, RM120 hingga RM250 bagi racun serta kos benih, upah membaja dan meracun, pengangkutan padi serta perbelanjaan sampingan.
Secara keseluruhan, kos operasi dianggarkan antara RM1,276 hingga RM1,746 bagi setiap relung untuk satu musim, bergantung pada penggunaan input dan kadar perkhidmatan yang dikenakan.
Berdasarkan pengiraan itu, pesawah mengalami kerugian antara RM476 hingga RM946 serelung, sebelum mengambil kira insentif lain yang mungkin diterima.
Sekiranya mereka layak menerima insentif pembajakan RM84 bagi keluasan 0.28 hektar, kerugian itu masih dianggarkan antara RM392 hingga RM862.
Dengan pendapatan kasar hanya RM800 serelung, pesawah perlu memperoleh hasil sekurang-kurangnya sekitar 638 hingga 873kg bagi menampung kos operasi yang dianggarkan dan bergantung pada tahap perbelanjaan masing-masing.
Situasi itu menunjukkan hasil tuaian yang rendah boleh menyebabkan pesawah bukan sahaja gagal memperoleh pendapatan daripada usaha mereka malah terpaksa menanggung kekurangan wang untuk memulakan musim penanaman berikutnya.
Mengulas perkara itu, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, kerajaan perlu bertanggungjawab terhadap kerugian dialami petani susulan kelewatan bekalan baja pada Musim 1/2026 khususnya di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
“Kami melihat kerugian ini berlaku susulan kelemahan tadbir urus KPKM dalam menguruskan tender bekalan baja sehingga menyebabkan pesawah menerima kesan yang sangat besar.
“Pesawah terpaksa menanggung kos pengeluaran yang tinggi, tetapi hasil yang diperoleh pula tidak seberapa. Oleh itu, KPKM perlu bertanggungjawab dan memastikan pampasan diberikan kepada mereka yang terjejas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, rata-rata pesawah hanya memperoleh hasil sekitar 400kg hingga 1.5 tan metrik bagi setiap relung yang jauh lebih rendah berbanding sasaran hasil selamat sekitar dua tan metrik per relung atau tujuh tan metrik sehektar di Kedah.
Menurut Abdul Rashid, pesawah tidak sepatutnya dipertanggungjawab atas masalah yang berpunca daripada kelewatan pengurusan bekalan baja, sedangkan mereka bergantung kepada input pertanian itu untuk memastikan pertumbuhan padi berada pada tahap optimum.
Katanya, tuntutan pampasan bukan semata-mata bertujuan mendapatkan ganti rugi atas kehilangan hasil, tetapi bagi memastikan kebajikan dan maruah pesawah terus dipelihara.
“PeSAWAH sentiasa mengalu-alukan sebarang penambahan bantuan kepada petani namun pelaksanaan yang jelas dan mengikut tempoh ditetapkan lebih penting supaya kami benar-benar menikmati manfaat yang diumumkan.
“Bantuan boleh diumum tetapi persoalannya bagaimana pelaksanaan dan bila pesawah dapat menikmatinya, malah isu elaun menunggu tuaian juga belum selesai,” katanya. – UTUSAN











