PUTRAJAYA: Hasrat menjadikan Angkatan Siber sebagai cabang perkhidmatan keempat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjelang 2030 bukan sekadar menambah satu lagi struktur dalam organisasi pertahanan negara, sebaliknya menuntut pembinaan keupayaan operasi yang mampu menangani ancaman dalam ruang siber.
Penganalisis keselamatan, Raja Muhammad Khairul Akhtar Raja Mohd Naguib berkata, perubahan landskap peperangan moden menjadikan ruang siber semakin penting dalam strategi pertahanan sesebuah negara.
Beliau yang juga calon Doktor Falsafah di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Ketamadunan (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, ruang siber bukan lagi sekadar berkaitan sistem teknologi maklumat, rangkaian dan keselamatan kata laluan sebaliknya menjadi medan operasi yang melibatkan ancaman aktif serta sasaran strategik.
“Keadaan itu menuntut pendekatan pertahanan berbeza daripada keupayaan darat, laut dan udara, termasuk keupayaan bertindak pantas terhadap ancaman, mengenal pasti serangan serta melindungi rangkaian kritikal daripada gangguan.

“Cabaran lebih besar ialah mendapatkan dan mengekalkan tenaga pakar dalam bidang seperti kejuruteraan rangkaian, analisis ancaman, kecerdasan buatan dan peperangan elektronik, terutama apabila sektor swasta menawarkan ganjaran yang sukar ditandingi oleh perkhidmatan awam,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, ATM perlu menyediakan laluan kerjaya yang mampu menarik tenaga berkemahiran tinggi, di samping membangunkan doktrin dan peraturan operasi yang jelas bagi memastikan kepakaran tersebut dapat dimanfaatkan dalam keperluan pertahanan sebenar.
Raja Muhammad Khairul Akhtar berkata, Malaysia bagaimanapun sudah mempunyai asas untuk menyokong usaha itu menerusi penglibatan institusi pengajian tinggi dan industri, termasuk CSI-LAB kendalian Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bersama Kaspersky serta penyelidikan melalui Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi Sultan Ibrahim (PaKSI).
Menurutnya, kerjasama antara ATM, universiti dan industri perlu diperkukuh bagi menghubungkan pembangunan bakat, penyelidikan serta teknologi dengan keperluan operasi, sekali gus memastikan Angkatan Siber bukan sekadar wujud pada carta organisasi, tetapi mempunyai keupayaan yang boleh digunakan secara berkesan. – UTUSAN











