KUALA LUMPUR: Seorang guru tuisyen didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas enam pertuduhan melakukan amang seksual dan seks luar tabii terhadap tiga murid kelas tambahan anjurannya, sejak Julai lalu.
Tertuduh, M.D. Sebastian, 46, yang juga guru sekolah rendah mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus dan Hakim Ilmami Ahmad.
Bagi dua pertuduhan, tertuduh didakwa meliwat seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun di sebuah rumah di Kampung Muhibbah, Jalan Puchong antara pukul 4.45 petang pada Julai 2026 dan pukul 6 petang, 30 September 2026.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman antara lima hingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi empat pertuduhan lagi, di masa, tempat dan tarikh sama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak sama dan dua lagi kanak-kanak lelaki yang juga berumur 11 tahun.
Perbuatan itu dituduh mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, V. Suloshani dan Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir manakala tertuduh diwakili peguam Mansheel Kaur.
Mahkamah membenarkan Sebastian diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.
Kedua-dua mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berdekatan satu bulan sekali, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes bagi serahan dokumen pada 23 November dan 18 Disember ini.
Sebelum ini, seorang guru tuisyen ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melakukan amang seksual dan persetubuhan luar tabii terhadap lima pelajar lelaki berumur antara 12 hingga 16 tahun.
Suspek ditahan pada 10 Oktober lalu kira-kira pukul 11.30 malam di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
Siasatan polis mendapati, perbuatan terkutuk itu didakwa dilakukan di rumah suspek yang turut dijadikan sebagai pusat tuisyen. –UTUSAN











