PEMBATALAN pendaftaran Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), kelmarin bukan sekadar kemelut pentadbiran sebuah gabungan politik, sebaliknya menjadi tamparan terhadap kesepaduan pembangkang yang selama ini bergerak di bawah satu payung.
Bahkan, kemelut ini turut mendedahkan keretakan dalaman yang tidak lagi boleh disembunyikan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Lebih daripada soal kehilangan nama dan lambang, krisis ini turut menyentuh kedudukan wakil rakyat, kesinambungan kerjasama antara parti serta keupayaan pembangkang mempertahankan peranannya dalam sistem demokrasi.
Ini kerana apabila wadah yang pernah menyatukan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini berdepan pembatalan pendaftaran, maka kesannya tidak lagi terbatas kepada kepimpinan tertinggi tetapi turut melibatkan seluruh struktur politik yang dibina atas nama PN.
Keputusan RoS di bawah sub perenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) dibuat selepas penjelasan yang dikemukakan gabungan itu didapati gagal menyangkal asas pembatalan.
Perkembangan tersebut berpunca daripada pertikaian dalaman, termasuk aduan Bersatu berhubung dakwaan tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Tergempar Majlis Tertinggi Parti PN pada 16 Julai lalu.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyifatkan pembatalan itu sebagai peringatan kepada pemimpin gabungan supaya berlaku adil terhadap semua parti anggota serta mematuhi perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966.
Beliau juga menegaskan kuasa dan kedudukan dalam gabungan tidak seharusnya disalahgunakan demi kepentingan parti atau kelompok tertentu sehingga menjejaskan matlamat asal penubuhannya.
Kenyataan itu membawa mesej yang jelas kerana gabungan politik tidak boleh bertahan sekadar melalui persetujuan pemimpin atau perkiraan pembahagian kerusi.
Sebaliknya, tanpa tatakelola yang adil, hak setiap anggota dihormati dan keputusan dibuat mengikut peraturan, menyebabkan kerjasama yang dibina atas kepentingan bersama boleh runtuh akibat perebutan pengaruh.
Sementara Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula menyalahkan kepimpinan PN yang diterajui Pas atas krisis tersebut. Beliau mendakwa hak Bersatu untuk menghadiri mesyuarat, menyuarakan pendapat dan mengundi telah diketepikan, sekali gus menjejaskan tadbir urus gabungan.
“Tindakan kepimpinan PN dipengerusikan Pas menafikan hak Bersatu untuk menghadiri, memberi pendapat dan mengundi di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu merupakan satu kesalahan yang ‘fatal’ dan pelanggaran Fasal 7.1 Perlembagaan Parti PN,” katanya.
Pertelingkahan antara kedua-dua parti itu menunjukkan kesepakatan antara parti tidak boleh bergantung pada persamaan sentimen atau kepentingan pilihan raya semata-mata.
Sedangkan kedua-dua parti pastinya mengetahui tanpa peraturan yang dihormati bersama, boleh menyebabkan kerjasama mudah bertukar menjadi gelanggang perebutan kuasa, sedangkan setiap parti mengharapkan layanan yang adil.
Kesan paling segera selepas pengumuman RoS itu ialah keperluan memperjelas kedudukan ahli Parlimen yang selama ini bergerak sebagai blok PN. Ini memandangkan kehilangan status rasmi PN menimbulkan keperluan untuk menyusun semula identiti serta penyelarasan blok pembangkang di Dewan Rakyat.
Kemungkinan pembatalan ini akan membuka ruang kepada pembentukkan gabungan politik baharu antara PN dan rakan komponennya. Langkah ini memberikan kepastian kepada wakil rakyat sekali gus mengangkat agenda penyatuan ummah sebagaimana dirancang bersama Barisan Nasional (BN).
Sementara di pihak Bersatu pula masih samar-samar dalam rancangan menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) walaupun wujud rundingan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan Bersatu di Selangor.
Pun begitu, tidak mustahil parti itu juga memperkuatkan semula Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) sebagaimana diberitahu Pengasas bersama Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof.
Apa pun tindakan kedua-dua pihak, perkembangan ini tetap memberi kesan terhadap imbangan politik negara.
Pembangkang yang berpecah atau gagal menyusun pendirian bersama akan berdepan kesukaran menjalankan fungsi semak dan imbang secara berkesan.
MANDAT KEKAL TETAPI WADAH HILANG
Penganalisis politik, Mujibu Abd. Muis berkata kesan pembatalan itu tidak semestinya sama di setiap negeri. Ini kerana Kelantan, yang diterajui Pas dengan kekuatan organisasi dan akar umbinya sendiri, mempunyai asas politik yang lebih tersendiri.
Ia boleh dilihat apabila kedudukan parti itu tidak sepenuhnya bergantung pada jenama PN, begitu juga Terengganu yang menggunakan tiket Pas sekali gus memberi ruang lebih besar untuk meneruskan pentadbiran dan terus memperoleh sokongan dalam pilihan raya akan datang.
Sebaliknya, katanya, negeri yang bergantung pada logo PN berdepan cabaran lebih rumit kerana kehilangan status pendaftarannya.
“Keadaan lebih mencabar bagi ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu yang bertanding menggunakan logo PN di luar Kelantan.
“Bersatu memperoleh mandat ketika bergerak dalam kerangka gabungan tersebut, namun kini perlu berhadapan dengan perubahan status organisasi yang menjadi asas kerjasama politik mereka.
“Jadi, Bersatu perlu mencari jalan untuk mengekalkan kekuatan politik menjelang PRU16,” katanya ketika ditemui di Parlimen, kelmarin.
PILIH CABAR DI MAHKAMAH
Dalam hal ini, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata gabungan itu akan mencabar keputusan RoS di mahkamah serta memohon supaya meneruskan penggunaan nama gabungan berkenaan.
Bahkan, PN turut mendakwa tindakan RoS mencerminkan kerajaan yang terdesak dan ketakutan terhadap peningkatan sokongan kepada gabungan tersebut.
Walaupun dakwaan itu menggambarkan pendirian politik gabungan itu terhadap keputusan berkenaan tetapi pertikaian dan tindakan untuk mencabar keputusan pembatalan pendaftaran gabungan itu di mahkamah tidak menghapuskan keperluan untuk menyelesaikan masalah dalaman yang membawa kepada tindakan RoS.
Dengan apa yang berlaku, kita dapat melihat bagaimana kegagalan membina persefahaman yang kukuh bukan sahaja melemahkan hubungan antara parti, malah kemungkinan besar boleh menjejaskan keyakinan pengundi terhadap kemampuan mereka membentuk alternatif kerajaan yang stabil.
Jika pertikaian berterusan tanpa pembaikan menyeluruh, maka sebarang usaha menghidupkan gabungan baharu berisiko mengulangi masalah sama.
Pembatalan pendaftaran boleh menjadi titik mula kepada kemerosotan pengaruh yang lebih besar, apa tah lagi apabila gagal mempertahankan tadbir urus yang adil, kepimpinan yang jelas dan kesediaan menyelesaikan konflik secara berprinsip. -UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.











