KUANTAN: Kerajaan Pahang bersedia menerima teguran dan kritikan media sebagai asas memperbaiki kelemahan serta memastikan setiap dasar dan usaha pembangunan negeri memberi manfaat kepada rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata beliau tidak berkecil hati apabila media sesekali mengkritik kerajaan negeri kerana teguran membina penting untuk membantu kerajaan mengenal pasti perkara yang mungkin terlepas daripada perhatian.
Beliau berkata, sebagai ketua kerajaan negeri, beliau sentiasa mengalu-alukan pandangan dan cadangan pelbagai pihak, termasuk pengamal media, demi memastikan Pahang terus maju dan mencapai tahap pembangunan lebih baik.
“Media boleh tegur kerajaan untuk tujuan pembaikan dan memberi cadangan yang baik. Saya sangat mengalu-alukan pandangan seperti itu kerana tidak semua perkara kita tahu apa yang berlaku,” katanya ketika berucap pada Malam Media Darul Makmur 2026 di sini malam semalam.
Menurut Wan Rosdy, hubungan kerajaan negeri dengan media di Pahang secara keseluruhannya sangat baik, meskipun sesekali berlaku perbezaan pandangan yang dianggap lumrah dalam hubungan kedua-dua pihak.
Beliau berkata, laporan yang mengkritik kerajaan negeri tidak seharusnya menjejaskan hubungan berkenaan kerana media mempunyai tanggungjawab menyampaikan maklumat secara menyeluruh, termasuk membangkitkan isu yang memerlukan perhatian kerajaan.
Beliau berkata, media turut memainkan peranan penting dalam mengetengahkan pencapaian Pahang, termasuk kejayaan mengutip hasil melebihi RM1 bilion lima tahun berturut-turut serta usaha mengurangkan hutang negeri.
Katanya, kedudukan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Pahang dalam kelompok empat negeri tertinggi di Malaysia turut mencerminkan potensi ekonomi negeri yang perlu terus diperkukuh.
Beliau berkata, Pahang mempunyai potensi besar untuk berkembang, namun kekuatan itu perlu diurus dengan baik melalui perancangan pembangunan berkesan dan usaha meningkatkan keyakinan rakyat serta pelabur.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kestabilan politik, perpaduan kaum dan hubungan erat antara kerajaan dengan rakyat perlu terus dipelihara bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lancar. – UTUSAN











