Kali pertama mengacara majlis perkahwinan Melayu, saya sudah cuba sedaya upaya - Daniel Cheang - Utusan Malaysia

Kali pertama mengacara majlis perkahwinan Melayu, saya sudah cuba sedaya upaya – Daniel Cheang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT JALIL: Pengacara, Daniel Cheang berlapang dada menerima kecaman netizen semasa mengendalikan siaran langsung majlis resepsi pasangan, Bella Astillah dan Syed Saddiq, Sabtu lalu.

Menurut Daniel, dia sudah melakukan persediaan rapi sebelum mengendalikan majlis berkenaan, namun tidak menafikan terdapat beberapa kekurangan terutama dari segi penggunaan bahasa dan gaya penyampaian.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Astro kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk mengendalikan siaran langsung majlis resepsi Bella dan Syed Saddiq.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebenarnya, saya sudah membuat banyak persediaan dan kajian. Ketika sesi pembacaan skrip bersama Uyaina Arshad dan latihan sebelum majlis, semuanya berjalan dengan lancar.

“Bagaimanapun, ini merupakan kali pertama saya mengacarakan majlis perkahwinan Melayu. Sebelum ini, saya hanya mengendalikan majlis perkahwinan masyarakat Cina.

“Saya sudah mencuba sedaya upaya, tetapi mungkin ketika itu fikiran saya tidak begitu bekerjasama sehingga ada bahagian yang menyebabkan saya tersasul. Saya akui penggunaan bahasa dan pemilihan perkataan saya boleh diperbaiki lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Daniel tidak menafikan kecaman yang diterima sedikit sebanyak mengguris perasaannya sehingga pernah terfikir untuk berhenti daripada bidang pengacaraan.

“Kalau saya kata tidak kecil hati, memang saya menipu. Kita semua manusia dan sudah tentu ada perasaan.

“Ada masanya saya terfikir mungkin lebih baik saya berhenti sahaja menjadi pengacara. Mungkin bidang ini sebenarnya bukan untuk saya dan orang tidak berminat untuk menonton saya.

“Namun, saya sedar ramai pengacara senior juga pernah melalui pengalaman dikecam. Mereka menjadikan kritikan sebagai pengajaran untuk bangkit semula dengan lebih kuat.

“Jadi, saya percaya segala kecaman ini akan mengajar dan mempersiapkan saya untuk mengendalikan sesuatu yang lebih besar pada masa hadapan,” jelasnya.

Daniel bagaimanapun memaklumkan dirinya tetap berbesar hati diberikan kepercayaan mengendalikan majlis berprofil tinggi berkenaan dan menganggap pengalaman tersebut sebagai peluang untuk meningkatkan kemahirannya.

“Saya sangat gembira dan berbesar hati kerana diberikan peluang ini. Selalunya kita melihat nama-nama besar seperti Sherry Alhadad, Radin dan Pak Azad mengendalikan majlis sebegini.

“Saya tidak boleh menolak rezeki yang diberikan kerana kalau saya menolak, bermakna saya sendiri tidak mahu mencabar kemampuan diri.

“Tidak kiralah sama ada persembahan saya baik atau masih mempunyai kekurangan, saya tetap perlu mencuba kerana daripada pengalaman inilah saya dapat belajar untuk mengendalikan acara lebih besar pada masa hadapan,” ujarnya.

Terdahulu, Daniel teruk dikecam netizen ketika mengendalikan sesi siaran langsung majlis perkahwinan Bella Astillah dan Syed Saddiq bersama Uyaina Arshad di Threads, bahkan ada yang menganggap dirinya pengacara yang paling teruk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini