MARAN: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) perlu menjadi pemangkin ekonomi utama yang membolehkan rakyat Pahang menikmati limpahan pembangunan, bukan sekadar bertindak sebagai kemudahan pengangkutan awam semata-mata.
Tujuh stesen ECRL di Pahang iaitu Bentong, Temerloh, Maran, Paya Besar, KotaSAS, Kuantan Port City, dan Cherating berpotensi besar membuka ruang pekerjaan, perniagaan, serta pasaran baharu bagi penduduk tempatan.
Rakyat Pahang menyambut baik ketegasan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menuntut anak tempatan diberi keutamaan dalam projek mega itu.
Penduduk Kampung Sentosa, dekat sini, Arshad Mokhtar Omar, 65, menekankan bahawa manfaat pembangunan itu perlu dirasakan terus oleh rakyat biasa dan bukannya didominasi oleh syarikat besar atau pihak bermodal sahaja.
Dia melihat lonjakan penumpang ECRL mampu merancakkan sektor perkhidmatan, pengangkutan dan perniagaan makanan berhampiran stesen jika rancangan tapak niaga disedia lebih awal.
“Apabila kerajaan membawa pembangunan ke negeri ini, kita berharap anak Pahang dapat peluang bekerja dan berniaga. Kami sokong pendirian Menteri Besar supaya peluang yang ada tidak terlepas daripada perhatian terhadap rakyat tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Penduduk Kuantan, Kamaruddin Ahad, 63, pula berkata, peningkatan pergerakan penumpang ECRL berpotensi merancakkan perniagaan makanan, pengangkutan dan pelbagai perkhidmatan sokongan di sekitar stesen.
Menurutnya, perancangan awal perlu dibuat bagi mengenal pasti lokasi perniagaan yang sesuai serta memaklumkan syarat permohonan kepada penduduk supaya mereka dapat membuat persediaan untuk merebut peluang berkenaan. – UTUSAN











