KUALA LUMPUR: Pelakon Ruhainies mengambil langkah tegas membawa dakwaan fitnah terhadap dirinya ke muka pengadilan, susulan tuduhan kononnya beliau dibela individu berpengaruh (VIP) selain dikaitkan dengan hubungan sulit.
Ruhainies berkata, dakwaan berkenaan bukan perkara baharu, sebaliknya sudah berlarutan sekian lama sehingga mendorongnya mengambil tindakan undang-undang terhadap tiga individu yang didakwa bertanggungjawab menyebarkan tuduhan terbabit.
Menurutnya, usaha memberikan penjelasan dan menafikan dakwaan menerusi media sebelum ini tidak membuahkan hasil apabila pihak terbabit didakwa masih menganggap penafiannya sebagai sesuatu yang tidak serius.
“Beberapa hari lepas nama saya difitnah. Perkara ini sebenarnya bukan baharu dan sudah lama berlarutan. Sebelum ini pun saya pernah berhadapan situasi ini.
“Saya cuba menafikan melalui pihak media, tetapi apabila saya berbuat demikian, mereka menganggap saya main-main. Katanya, semua orang boleh menafikan perkara itu.
“Sekarang sudah tiba masanya untuk saya mengambil tindakan undang-undang bagi menunjukkan bahawa saya serius menegaskan perkara ini adalah fitnah.
“Disebabkan itu, saya melantik dua peguam daripada dua firma guaman untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media bersama peguamnya di Restoran Cili Kampung, Sri Hartamas, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ruhainies mempersoalkan asas dakwaan berkenaan yang disifatkannya tidak berasas, selain mendakwa tuduhan itu bertujuan menjatuhkan reputasi serta mencemarkan nama baiknya.
“Dari mana puncanya pun saya tidak tahu. Lainlah kalau ada gambar yang tersebar atau saya terserempak dengan individu itu di luar. Kalau ada, saya akan faham. Bagaimana tuduhan itu bermula, saya sendiri tidak tahu.
“Apabila ditanya kepada individu yang membuat tuduhan pun, mereka tidak tahu. Katanya, mereka hanya menulis sahaja. Niat mereka hanya mahu menjatuhkan reputasi dan memburukkan nama saya.
“Saya tidak kata nama saya bersih selama ini. Saya pun pernah terpalit kontroversi. Walaupun sudah tercalar sekali pun, tak akanlah mahu mengotorinya lagi. Mereka kaitkan saya bukan dengan orang biasa-biasa, tetapi VIP,” katanya.
Sehubungan itu, Ruhainies mencabar pihak yang membuat tuduhan supaya tampil mengemukakan bukti sekiranya benar beliau dibela atau ditaja individu berpengaruh seperti yang didakwa.
Katanya, tuduhan sedemikian bukan sahaja melampau, malah seolah-olah memperlekehkan usaha kerasnya sepanjang bergelar anak seni.
“Saya rasa dakwaan itu melampau. Saya bekerja keras selama ini, tetapi senang-senang orang kata saya dibela dan ditaja. Kalau perkara ini benar, mana buktinya?
“Kalau boleh dibuktikan, saya pun takut hendak mengambil tindakan. Kalau orang dapat korek macam mana? Saya berani kerana benar. Kalau benar, buktikanlah. Samanlah saya,” katanya.
Terdahulu, Ruhainies memaklumkan sudah melantik dua peguam daripada dua firma guaman berbeza bagi menguruskan tindakan undang-undang terhadap tiga individu berkenaan.
Menerusi tuntutan itu, ketiga-tiga individu terbabit diminta mengemukakan permohonan maaf, memberikan aku janji untuk menarik balik atau memadam semua kenyataan berunsur fitnah, menghentikan pengulangan tuduhan serta menanggung kos guaman.
Kegagalan memenuhi tuntutan berkenaan dalam tempoh tujuh hari bakal menyaksikan pihak Ruhainies menuntut ganti rugi berjumlah RM3 juta.











