SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) bekerjasama dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi menambah baik spesifikasi rumah supaya selari dengan standard bantuan oleh badan baitulmal itu dan berada dalam keadaan siap didiami bagi golongan asnaf di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Zakat Selangor, Mohd. Khaidzir Shahari berkata, kerjasama menerusi Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) itu menggabungkan subsidi kerajaan dan pembiayaan zakat.
Katanya, Zakat Selangor membiayai kos pembinaan rumah pada harga lebih berpatutan selepas ditampung subsidi kerajaan bagi asnaf yang layak.
“Dengan pendekatan itu, kita berharap penggunaan dana yang lebih cekap dapat membuka peluang kepada lebih ramai keluarga asnaf untuk menikmati kediaman yang lebih baik.
“Saya merakamkan penghargaan kepada SPNB atas kesediaan bekerjasama dengan Zakat Selangor. Semoga usaha tersebut dapat memperkukuh penyampaian bantuan perumahan dan memberi manfaat yang berpanjangan kepada asnaf di Selangor,” katanya ketika berucap pada majlis Sepetang Bersama Media dan Pelancaran Kempen Hujung Tahun Zakat Selangor 2026 di sini, hari ini.
Terdahulu, pada majlis tersebut, beliau mewakili Zakat Selangor melakukan pertukaran dokumen perjanjian kerjasama dengan CEO SPNB, Abdul Hamid Abdullah.
Dalam ucapannya Mohd. Khaidzir memaklumkan, kempen yang berlangsung sepanjang bulan ini hingga Disember merangkumi pelbagai inisiatif kutipan dan agihan zakat, pembangunan asnaf serta aktiviti dakwah dengan sokongan rangkaian cawangan Zakat Selangor.
Beliau ketika ditemui memaklumkan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, sebanyak RM750 juta dana zakat diagihkan menerusi pelbagai bentuk bantuan termasuk program pembangunan asnaf.
Beliau meberitahu, jumlah agihan tersebut adalah sejajar dengan kutipan zakat dan Zakat Selangor berada dalam landasan untuk mencapai sasaran kutipan RM1.37 bilion bagi tahun ini.
Akhir tahun ini adalah penentunya sama ada kita dapat lebih berbanding tahun lepas atau kurang. Tetapi sehingga September lalu juga kita memang on track untuk mencapai sasaran.
“Justeru menjelang hujung tahun ini, saya menyeru masyarakat Islam yang memenuhi syarat wajib zakat supaya menyemak kiraan dan menyempurnakan zakat masing-masing sebelum 31 Disember. – UTUSAN











