Kenal pasti punca pencemaran Sungai Kereh jadi keutamaan - Mooi Lye

Kenal pasti punca pencemaran Sungai Kereh jadi keutamaan – Mooi Lye

KEADAAN Sungai Kereh di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Pulau Pinang yang tercemar akibat sisa kumbahan najis babi sebelum ini.-GAMBAR/JAS PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan negeri akan memberi keutamaan terhadap usaha mengenal pasti punca sebenar pencemaran yang berlaku di Sungai Kereh, Kampung Selamat, Tasek Gelugor melalui pemeriksaan serta penilaian yang akan dibuat secara menyeluruh.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, H’Ng Mooi Lye berkata, dalam hal ini, tindakan penguatkuasaan juga akan diambil terhadap pihak yang didapati melanggar peraturan serta langkah pembetulan yang sedang dilaksanakan.

“Industri penternakan babi berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan menyokong sektor-sektor berkaitan. Namun, potensi itu perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab pengusaha untuk mematuhi peraturan serta memastikan operasi penternakan tidak menjejaskan alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Oleh itu, kerajaan negeri yakin bahawa pengurusan industri ini boleh dipertingkatkan melalui penggunaan teknologi moden, sistem rawatan sisa yang berkesan, pemantauan berterusan dan penguatkuasaan yang tegas terhadap ketidakpatuhan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan semalam yang meminta kerajaan mengkaji sama ada industri penternakan babi wajar diteruskan di negara ini atau bekalan daging berkenaan boleh diperoleh menerusi import sahaja.

Wan Saiful dalam kenyataan yang sama juga menuntut supaya ladang penternakan babi di Kampung Selamat turut ditutup bagi menyelesaikan isu berkenaan secara muktamad.

Sementara itu, Mooi Lye berkata, bagi memastikan industri penternakan haiwan itu diurus secara lebih teratur dan sistematik di Pulau Pinang, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) telah melaksanakan penguatkuasaan Enakmen Penternakan Babi 2016 dan Peraturan-Peraturan Penternakan Babi (Pulau Pinang) 2020.

Selain itu, katanya, sesi perbincangan turut diadakan bersama beberapa pihak termasuk Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang serta JPVPP pada 11 Mei lalu bagi membincangkan penyelesaian terhadap isu pencemaran Sungai Kereh, dengan dihadiri oleh wakil daripada Pusat Khidmat Parlimen Tasek Gelugor sendiri.

“Dalam perbincangan itu, JPVPP telah membentangkan dua pelan tindakan utama iaitu penghantaran sisa penternakan ke loji biogas sebagai langkah jangka pendek dan cadangan pembinaan fasiliti loji biogas di Kampung Selamat sebagai penyelesaian jangka panjang,” ujar beliau.

Untuk rekod, terdapat 61 buah ladang penternakan babi yang dikatakan masih beroperasi di Kampung Selamat pada masa ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini