TLDM bakal peroleh dua kapal ukur hidrografi  - Utusan Malaysia

TLDM bakal peroleh dua kapal ukur hidrografi 

Panglima Tentera Laut, Tan Sri Dr. Zulhelmy Ithnain (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman antara Pusat Hidrografi Nasional (NHC) yang diwakili Ketua Pengarah Hidrografi Malaysia, Laksamana Muda Dr. Najhan Md. Said (kiri) dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat pada Majlis Perasmian SEABED 2030 di Hotel Concorde di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bakal memperoleh dua kapal ukur hidrografi baharu menerusi peruntukan Belanjawan 2027 bagi mempercepat kerja pemetaan dasar laut negara.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr. Zulhelmy Ithnain berkata, perolehan kedua-dua kapal itu merupakan antara keutamaan yang diluluskan di bawah Rancangan Pelaksanaan Kedua (RP2) Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).

Katanya, proses perolehan kedua-dua kapal itu masih belum bermula, namun dijangka mempercepat kerja pengukuran di kawasan keutamaan serta mengurangkan jurang maklumat kedalaman dan topografi dasar laut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perolehan ini dijangka mempercepat pengukuran di kawasan keutamaan, mengurangkan jurang maklumat kedalaman dan topografi dasar laut serta memperkukuh penyediaan carta nautika,” katanya dalam Majlis Perasmian SEABED 2030 Indo-Pacific Ocean Mapping Meeting & Data Sprint 2026 di Hotel Concorde, di sini hari ini.

Program anjuran Pusat Hidrografi Nasional (PHN), TLDM itu berlangsung dari 20 hingga 22 Oktober idan menghimpunkan 250 peserta dari 33 negara bagi membincangkan usaha pemetaan dasar laut dunia menerusi pengumpulan dan penyepaduan data kedalaman laut menjelang 2030.

Penganjuran SEABED 2030 berpotensi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bagi pemetaan dasar laut dan kerjasama geospatial marin, selain menghubungkan kerajaan, pejabat hidrografi, institusi penyelidikan dan industri. 

Menurut Zulhelmy, TLDM ketika ini hanya mempunyai sebuah kapal hidrografi untuk melaksanakan kerja pemetaan dasar laut, sekali gus menyukarkan usaha meliputi keseluruhan perairan negara.

“Dua kapal bersaiz lebih kecil itu akan digunakan terutamanya untuk menjalankan kerja ukur di kawasan perairan cetek, manakala kawasan laut dalam dan perairan terbuka akan terus diliputi oleh KD Perantau serta kapal sewaan,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan kapal sewaan masih diperlukan bagi mempercepat kerja pengukuran hidrografi memandangkan kapal sedia ada turut mempunyai tanggungjawab operasi lain.

“Malaysia menyasarkan kerja pemetaan dasar laut dapat diselesaikan sebelum 2050, dengan penambahan dua aset itu dijangka membantu mempercepat proses berkenaan,” katanya.

Katanya, kapal ukur hidrografi digunakan untuk mengumpul data kedalaman air dan ciri-ciri dasar laut bagi membantu penyediaan carta nautika serta memastikan keselamatan pelayaran dan operasi maritim. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini