KUALA KRAI: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memasang dua perangkap bagi menangkap harimau belang yang ‘menghantui’ lebih 500 penduduk di empat buah kampung iaitu Nara, Gajah Mati, Bukit Pacat dan Slow Temiang di Mukim Sungai Mengkuang di sini, sejak Selasa lalu.
Penghulu Mukim Sungai Mengkuang, Zulkifli Sulaiman berkata, pemasangan yang turut dibantu penduduk itu melibatkan kawasan Bukit Pacat 1 dan Slow Temiang.
“Kami letak kambing sebagai umpan. Penduduk sangat berharap ‘pak belang’ itu ditangkap dengan segera,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Minggu lalu, akhbar ini melaporkan kehadiran seekor harimau belang yang menerkam lembu peliharaan menyebabkan lebih 500 penduduk di empat kampung berkenaan diselubungi ketakutan.
Kelibat haiwan karnivor itu disedari seorang penoreh getah warganegara Indonesia yang mendakwa dikejar harimau berkenaan semasa sedang bekerja di kawasan ladang.
Zulkifli berkata, penduduk masih kekal tidak keluar pada sebelah malam sebagai langkah berwaspada.
Katanya, ia bertujuan memastikan tahap keselamatan mereka terjamin selain mengelak terserempak dengan haiwan liar berkenaan.-UTUSAN.











