AMMAN: Jordan bimbang sempadannya dengan Israel semakin menjadi laluan utama penyeludupan dadah susulan peningkatan kegiatan sindiket yang menggunakan teknologi canggih, termasuk dron dan belon berisi gas helium.
Rangkaian jenayah terancang yang beroperasi di Gurun Negev, selatan Israel, dipercayai mempunyai hubungan dengan kumpulan di Jordan dan Semenanjung Sinai, Mesir, bagi menjalankan kegiatan penyeludupan merentasi sempadan.
Perkembangan itu berlaku ketika perdagangan dadah serantau mengalami perubahan susulan kejatuhan Presiden Syria, Bashar al-Assad, pada penghujung 2024.
Beberapa pihak dalam rejim Bashar sebelum ini dikaitkan dengan pengeluaran dan pengedaran Captagon, sejenis dadah perangsang berasaskan amfetamin yang menyalahi undang-undang. Syria pernah menjadi hab pengedaran dadah itu ke rantau Teluk, manakala Jordan berperanan sebagai laluan transit dan pasaran.
Kegiatan penyeludupan dadah dari Syria ke Jordan dilaporkan berkurangan selepas kejatuhan kerajaan Bashar dan pembentukan pentadbiran baharu yang menganggap perdagangan Captagon sebagai isu keselamatan negara.
Menurut laporan Al Jazeera, Tentera Udara Diraja Jordan sebelum ini turut melancarkan serangan berkala terhadap lokasi pengeluaran dan penyeludupan dadah di Syria.
Namun, pasukan keselamatan Jordan kini semakin menumpukan perhatian kepada sempadan dengan Israel susulan penggunaan dron kuadkopter dan belon untuk menyeludup ganja, methamphetamine kristal serta amfetamina ke negara itu.
Menteri Dalam Negeri Jordan, Mazen al-Faraya, berkata operasi penyeludupan dadah dari Israel menggunakan dron semakin meningkat, meskipun pihak berkuasa berusaha membanteras kegiatan itu.
Beliau berkata, sebanyak 15,342 kes berkaitan dadah direkodkan sepanjang tahun ini, dengan kira-kira 28 peratus melibatkan pengedaran, manakala 72 peratus lagi berkaitan penggunaan dadah.
Data awal pasukan keselamatan Jordan turut merekodkan 17 operasi pemintasan berkaitan dron di kawasan sempadan barat daya dengan Israel sepanjang separuh pertama 2026.
Dalam tempoh sama, sebanyak 231 cubaan penyeludupan dan pencerobohan dikesan, manakala 56 dron ditembak jatuh di pelbagai kawasan sempadan.
Menurut laporan media Israel, sindiket di Gurun Negev dipercayai mendalangi sebahagian kegiatan penyeludupan dadah ke Jordan kerana harga bahan terlarang itu lebih tinggi di negara berkenaan.
Akhbar Britain, The Telegraph, melaporkan sekilogram ganja boleh dijual pada harga kira-kira 7,500 pound (RM40,783), iaitu sekitar 15 kali ganda lebih tinggi berbanding harga di Israel, menurut perkhidmatan keselamatan negara itu.











