BAITULMUQADDIS: Polis Israel menahan 10 individu di Tebing Barat pada Isnin susulan serangan peneroka haram Israel terhadap seorang jurugambar Amerika Syarikat (AS) dan datuk bandar dari Perancis.
Polis memaklumkan pihaknya menyerbu beberapa lokasi di seluruh Tebing Barat serta merampas kenderaan dan bahan bukti yang berpotensi berkaitan dengan serangan itu, yang semakin meningkat ketika peneroka haram mengganggu musim tuaian zaitun tahunan rakyat Palestin.
“Susulan insiden keganasan serius sepanjang hujung minggu lalu, termasuk serangan terhadap seorang petugas media dan serangan yang disyaki menyasarkan orang awam asing, operasi penahanan dijalankan sebelum subuh.
“Suspek ditahan kerana disyaki terbabit dalam insiden keganasan, melanggar arahan komander tentera berhubung kawasan larangan tentera serta melakukan pembinaan haram,” kata Komander Polis Israel bagi Tebing Barat, Mejar Jeneral Moshe Finchi.
katanya.
Serangan itu berlaku selepas keganasan peneroka haram yang semakin meningkat di Tebing Barat mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang berdepan persaingan sengit untuk mendapatkan mandat baharu dalam pilihan raya pada 27 Oktober, cuba mengukuhkan sokongan kelompok berhaluan kanan.
Beliau juga mempersoalkan keadaan sebenar di sebalik beberapa serangan peneroka baru-baru ini.
Pihak pembangkang menyifatkan serangan terhadap warga Barat itu mencemarkan imej Israel dan menuduh Netanyahu membiarkan keganasan berkenaan berlaku.
Kumpulan hak asasi manusia berkata, Israel jarang mendakwa peneroka yang menyerang mangsa Palestin di mahkamah.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serangan peneroka haram terhadap rakyat Palestin, termasuk membunuh, memukul, vandalisme dan pembakaran mencatatkan purata enam kejadian sehari pada separuh pertama tahun ini.
Pada Sabtu, peneroka menyerang seorang datuk bandar Perancis dan seorang jurugambar AS dalam dua kejadian berasingan.
Datuk Bandar Aulnoye-Aymeries, sebuah bandar di utara Perancis, Bernard Baudoux, 78, dipukul peneroka pada Jumaat ketika menyertai lawatan muhibah dan membantu menuai buah zaitun. Beliau merupakan penyokong perjuangan Palestin.
Sehari sebelumnya, peneroka menyerang jurugambar berpengalaman, Heidi Levine yang sedang membuat liputan untuk akhbar The Washington Post, sehingga menyebabkan beliau dimasukkan ke hospital akibat patah tulang belakang.-AFP











